Yuna tak kekok lagi Yuna
Makin serasi dengan kehidupan di LA, tak sabar tunggu konsert

Sudah tiga tahun Yuna menyambut Ramadan di luar negara. Sepanjang tempoh itu juga, penyanyi yang terkenal dengan imej berserban ini berjauhan dengan keluarga ketika menjalani ibadat puasa.

Namun, demi mengejar cita-cita, dia tidak kisah itu semua, walaupun dalam hati terselit perasaan rindu terhadap famili dan tanah air tercinta.
Jika tahun pertama dulu, pemilik nama penuh Yunalis Zarai ini mungkin sedikit kekok untuk menyesuaikan diri, terutama ketika Ramadan menjelma, namun kali ini dia sudah betah dengan suasana sekelilingnya.


“Alhamdulillah, inilah tahun ketiga saya berpuasa di Los Angeles (LA). Jadi, tidaklah begitu susah untuk saya kerana sudah biasa berpuasa berjauhan dari keluarga.

“Kalau boleh, memanglah saya nak berpuasa di Malaysia, tetapi kerana kerja, saya perlu berada di sini dan perlu menyelesaikan segala persediaan untuk album kedua yang bakal dipasarkan tidak lama lagi,” katanya kepada HIP.

Mungkin akan ada yang menyangka perantau seperti Yuna lebih banyak membeli juadah, sama ada untuk berbuka ataupun bersahur. Namun kata gadis tinggi lampai ini, dia lebih selesa memasak sendiri.

“Sepanjang puasa, saya masak sendiri. Alhamdulillah nasib baik saya ada kawan, Didi, yang tinggal bersama, jadi dalam tempoh dua minggu pertama Ramadan, kami bergilir-gilir memasak di rumah. Setakat ini, memang saya tidak makan di luar. Ia juga lebih jimat kerana kalau nak makan di luar, memang agak mahal,” ujar Yuna sambil memberitahu, dia amat rindukan lamb chop dan sup hasil air tangan ibunya.
Berbuka dengan komuniti Islam

Walaupun sibuk dengan aktiviti dan kerja di studio, namun ia tidak menghalang penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Dan Sebenarnya ini bergiat aktif dengan komuniti Muslim di sana.

Cerita Yuna dia juga pernah berbuka puasa bersama komuniti Muslim di LA dan pengalaman itu cukup menyeronokkan.

“Sebelum ini, saya pernah berbuka puasa bersama pelajar di Pomona. Memang menyeronokkan. Cuma tahun ini saya saya belum berkesempatan berbuat demikian. Lagipun, saya tiada kereta dan kebetulan saya tinggal jauh dari tempat yang mempunyai ramai orang Islam. Jadi kalau nak bergerak dari satu tempat ke satu tempat, saya kena naik bas atau tren.

“Insya-Allah tahun depan saya akan mula memandu, jadi bolehlah saya serta aktiviti masyarakat Muslim Malaysia di sini,” kata Yuna yang kini sibuk menyiapkan kulit album terbarunya.

Kurung moden pilihan Yuna

Mengenai persiapan raya terutama dari segi pakaian, Yuna yang bakal meraikan 1 Syawal di kampung halamannya di Perak berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada ibunya.

“Sejak dulu lagi, saya memang tidak cerewet dan tak kisah sangat pasal baju raya. Apa saja yang emak pilih, saya akan pakai. Saya percaya dengan cita rasanya kerana kami mempunyai selera yang sama. Selalunya kami akan berpakaian sedondon.

“Lazimnya, baju kurung moden menjadi pilihan. Tetapi kalau saya ada acara khas seperti rumah terbuka, saya akan cuba mendapatkan baju kurung yang seakan-akan gaun. Saya suka corak cetak yang moden, tetapi bukan yang jenis berbunga-bunga,” kata penyanyi yang gemar bergaya ini.

Sibuk buat persiapan konsert

Sambutan Hari Raya kali ini barangkali memberi makna yang berbeza buat Yuna kerana dia bakal mengadakan konsert bersama orkestra di pentas berprestij, Istana Budaya. Dalam pada sibuk membuat persiapan raya, penyanyi ini juga berhempas pulas memastikan persiapan untuk konsert sulungnya itu berjalan sempurna.

“Persiapan untuk konsert berjalan lancar. Setakat ini kami baru saja selesai memilih senarai lagu yang bakal dinyanyikan. Memandangkan saya berada di LA dan kumpulan muzik saya di KL, jadi mereka kerap berlatih tanpa saya. Mereka memang rajin berlatih sementara menunggu saya pulang. Untuk konsert ini, saya akan menyanyikan lagu baru daripada EP saya,” ujar Yuna yang cukup teruja dan menyifatkan peluang diberikan itu umpama bulan jatuh ke riba.

Ditanya apakah dia akan mengadakan segmen tirubute untuk mana-mana penyanyi pada konsertnya nanti, wanita berusia 26 tahun ini berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

Konsert yang akan diadakan pada 6,7 dan 8 September itu bakal diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).