'Tolak PAS jihad fisabilillah' Muhyiddin bersama Mustapa melaungkan slogan ‘Gelombang Merah’ bersama ribuan tetamu pada Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di (SK) Gemang, Jeli.
Muhyiddin ajak rakyat pastikan Kelantan maju dunia, akhirat

Kuala Krai: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengajak rakyat Kelantan melakukan jihad fisabilillah dengan menolak PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pentadbiran PAS sangat lemah dan dengan itu rakyat negeri ini perlu memberi sokongan teguh kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 ini.
“Saya mohon pertimbangan untuk sokong BN dan semua calon di Kelantan (dengan) sokongan bulat, kali ini masanya, kali inilah peluang kita untuk menang pilihan raya.


“Tuan-tuan, ini jihad fisabilillah, menolak kelemahan, menolak kemunduran itu jihad, untuk membantu umat Islam maju di dunia dan akhirat,” katanya di hadapan lebih 7,000 penduduk ketika merasmikan Jambatan Manek Urai Baru, di sini, semalam.

Jambatan bernilai RM17 juta berkenaan diilhamkan Muhyiddin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Manek Urai pada 2009 selepas mendengar keluhan dan permohonan penduduk di kawasan berkenaan.
Berita itu melagakan lebih 4,000 penduduk Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru selepas berpuluh tahun berdepan kesulitan.

Hadir sama Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha; calon BN Parlimen Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat; Azizzuddin Hussein (DUN Mengkebang); Datuk Nik Sapeia Nik Yusof (DUN Guchil); Che Jalal Muda (DUN Manek Urai) dan Datuk Ramzi Abdul Rahman (DUN Dabong).
Muhyiddin berkata, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju jika BN menang di Kelantan, maka Mustapa adalah orang yang sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Malah, katanya, beliau dan Perdana Menteri berjanji untuk terus prihatin dengan menghubungi Mustapa setiap minggu dan bulan bagi mendapatkan khabar rakyat Kelantan.

“Saya akan setiap minggu dan bulan menghubungi Tok Pa (Mustapa), kita akan tolong rakyat Kelantan, nak masjid... nak jambatan, kita bantu, ini bukan janji palsu, ini adalah amanah,” katanya.

Muhyiddin juga mempersoalkan tindakan PAS Kelantan yang banyak membuat janji dan melakukan gimik politik daripada kenyataan sebenar termasuklah Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan mengutip derma daripada orang ramai untuk membiayai projek lebuh raya berkenaan, sedangkan Kerajaan Pusat tidak pernah berbuat demikian selama ini.