Tak  pinggir golongan  ulama Bulatan Jalan Bakri di Muar, meriah dipenuhi kibaran bendera parti yang bertanding pada PRU-13.
Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan ulama dan ‘orang agama’ apabila membariskan sekurang-kurangnya 16 calon memiliki latar belakang pendidikan agama bagi PRU-13.

Mereka didahului Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga bekas Pengarah Kor Agama Tentera Darat (KAGAT) yang bertanding Parlimen Jerai di Kedah.
Turut tersenarai, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahya (DUN Sanglang, Perlis); Ahli Minda Pondok, Mohd Shamsul Mohd Yusoff (DUN Pasir Tumboh, Kelantan); Abdul Mutalib Abdul Rahim (DUN Layang-Layang, Johor); Abu Ubaidah Redza (DUN Ampangan, Negeri Sembilan).


Mohd Fadil Abu Kasim (DUN Johol, Negeri Sembilan); Mohd Zaidi Mohd Zain @ Zakaria (DUN Bangi, Selangor); Mohd Yusof Din (DUN Anggerik, Selangor); Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (DUN Membakut, Sabah); Ahmad Hasbullah Alias (DUN Kubu Gajah, Perak); Mohd Nizar Zakaria (DUN Belanja, Perak) dan Muhammad Ramli Nuh (DUN Tepuh, Terengganu).

Pahang calon paling ramai

Pahang menjadi negeri menampilkan paling ramai calon berlatar belakang pendidikan agama iaitu Nurhidayah Mohd Shahaimi (DUN Luit); Syed Ibrahim Syed Ahmad (DUN Kerdau); Datuk Shafik Fauzan Sharif (DUN Inderapura) dan Datuk Kapten (B) Mohd Johari Hussain (DUN Tioman).

Nurhidayah, 30, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar, kelulusan sama dimiliki Syed Ibrahim yang juga bekas Penasihat Agama Menteri Besar Pahang.
Shafik Fauzan pula berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sivil dan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Mohd Johari berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Syariah Islam dari University of Jordan serta Ijazah Sarjana Syariah Siasah Syar’iyyah (Sains Politik Islam) dari Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Fathul Bari ketika dihubungi, berkata pemilihan calon berlatar belakangkan pendidikan agama membuktikan UMNO-BN sentiasa terbuka menerima dan menyediakan pentas kepada ulama untuk menyebarkan ilmu dan dakwah mereka.

Landasan ilmuan agama

“UMNO-BN adalah landasan terbaik ilmuan agama, mereka tidak pernah dihalang untuk menyebarkan syiar Islam. Bahkan jika kita sedar, beberapa tokoh agama atau ulama yang jelas propembangkang turut diberi ruang dan peluang untuk menyebarkan ilmu agama serta dakwah mereka dalam rancangan televisyen,” katanya.