Jerantut: Seorang remaja berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam, atas tuduhan sumbang mahram terhadap kakak kandungnya, hujung tahun lalu.

Pertuduhan dibuat dalam kamar Majistret Muhammad Iskandar Zainol, tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada remaja terbabit. Dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap kakaknya berusia 15 tahun di sebuah rumah di sini kira-kira jam 12 tengah malam November lalu.
Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Muhammad Iskandar kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 18 Oktober depan. Pendakwaan dilakukan Inspektor Arifin Saidun, manakala tertuduh diwakili peguam, Ibrahim Kamaruddin.

Terdahulu, juvana terbabit tiba di mahkamah ditemani beberapa ahli keluarga termasuk bapanya.

Anak kesembilan daripada 12 beradik itu ditahan 22 Ogos lalu, selepas seorang jururawat membuat laporan polis berhubung kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun melahirkan bayi lelaki di Hospital Kajang, Selangor.