login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Khamis , 28 Ogos 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Kaunselor
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Silap makan kenduri
Kongsi Rasa bersama Kak Ani
bminggu@bharian.com.my
2011/06/11

Tetamu tak diundang tak boleh suka-suka hadiri majlis perkahwinan

HANYA satu saja majlis yang tak payah diundang. Kalau dengar ada kematian, sama ada kenal atau tidak, kita boleh redah menyertai majlis itu untuk menghormati jenazah. Kalau majlis lain termasuklah majlis kahwin, kalau tak terima undangan, usahlah tebal muka menghadirinya kerana ia boleh memalukan diri dan menyusahkan tuan rumah.
Mereka yang menganjurkan majlis eksklusif begini, biasanya sudah menetapkan jumlah tetamu yang sepatutnya hadir. Jadi persediaan makanan tentu mengikut jumlah tetamu diundang.
Jika seseorang itu datang ke majlis perkahwinan misalnya tanpa diundang, dia mungkin menyusahkan dan memalukan tuan rumah jika makanan disediakan tidak mencukupi.

Begitulah betapa indah aturan yang diamalkan dalam Islam. Bagaimanapun, ada juga orang tersilap masuk majlis tanpa disengajakan dan ada pula menganggap majlis kahwin suatu perniagaan. Inilah isu yang akan dikupas dalam Kongsi Rasa kali ini.

Kak Ani teringat suatu kejadian yang melucukan berlaku ketika emak dan ayah mengadakan majlis perkahwinan adik bongsu.

Biasalah untuk meraikan adik, bukan saja ayah dan emak sibuk mengundang tetamu, kami adik beradik pun sibuk menjemput rakan masing-masing.
Hendak dijadikan cerita, salah seorang rakan adik Kak Ani tersilap rumah. Kebetulan pada hari ayah adakan majlis itu, ada lagi rumah lain yang sederet dengan rumah ayah mengadakan kenduri kahwin.

Ketika sibuk melayan tetamu, tiba-tiba salah seorang adik menerima panggilan rakannya.

Menurut rakannya, dia sudah selesai menikmati hidangan dan tercari-cari tuan rumah iaitu adik, tetapi tak nampak batang hidup.

Adik dalam jawapan balas berkata, dia tak menang tangan melayan tetamu, tapi tak nampak pula kelibat rakan yang menelefon itu.

“Eh kau makan kat rumah siapa tu. Rumah aku warna kuning, lepas bulatan kat pekan tadi, mula-mula tempuh tu rumah aku,” kata adik.

Si rakannya kemudian membalas balik, rumah yang dia makan jauh ke depan lagi. “Aku dah makan ni. Ingat rumah mu...Aku kena hulur juga kat tuan rumah walaupun tak kenal,” katanya.

“Yang mu gi makan rumah orang tu buat apa? Marilah sini pula...aku dah tunggu ni...pasal ngulur tu tak penting..,” kata adik.

Tidak berapa lama kemudian, rakan adik pun sampai ke rumah. Kesilapan tidak sengaja makan kenduri di rumah lain jadi bahan lawak memeriahkan majlis perkahwinan adik.

Seorang pemandu teksi yang sering menghantar Kak Ani pulang kerja juga ada membawa kisah sendiri mengenai majlis kahwin.

Pemandu itu berkata, dia pernah singgah ke majlis perkahwinan orang tidak dikenal secara sengaja.

“Ketika melewati rumah yang mengadakan majlis kahwin itu, saya sudah kelaparan. Saya berhenti teksi di tepi jalan dan terus masuk ke khemah. Selepas kenyang, saya cari tuan rumah dan hulur duit. Mana orang tahu saya bukan jemputan,” katanya.

Pemandu teksi ini lebih memandang majlis kahwin sebagai satu perniagaan. Dia tidak berasa bersalah menyertai majlis itu tanpa diundang kerana pada anggapannya dia tidak makan secara percuma malah turut memberi sumbangan kepada tuan rumah.

Bagi wanita pula, majlis kenduri kahwin juga mempunyai pengertian tersendiri. Ada sesetengahnya menjadikan majlis itu tempat melaram.

Ketika itulah mereka mahu bergaya dengan baju baru, pakai gelang sekerat lengan dan rantai berlian penuh leher yang sengaja dipakai dengan niat menunjuk-nunjuk.

Macam-macam ragam yang dapat dikutip daripada majlis perkahwinan.

Selain tetamu berdepan hidangan yang tidak cukup, ada juga yang tak dapat cari tuan rumah kerana majlis dibuat di dua kawasan berbeza. Satu dewan untuk orang kenamaan dan satu lagi ruang legar untuk orang biasa. Tuan rumah lebih banyak bertumpu di dewan utama, manakala untuk orang biasa, tuan rumah meminta pembantu melayan dan menyerahkan cenderahati apabila tetamu pulang.

Bagi majlis besar begini, memang sukar tuan rumah melayan semua tetamu, tetapi mereka tidak harus abaikan tetamu kecil demi menghormati ‘orang besar’. Lebih baik tuan rumah berdiri saja di depan pintu untuk menyambut semua tetamu tidak kira kecil atau besar dan pembantu bertindak mengiringi orang kenamaan menikmati hidangan. Orang kecil biasanya tak perlu pengiring, mereka tahu cari makan sendiri.

Orang dulu kalau hendak buat kenduri, jenuh keliling kampung jemput tetamu. Mereka tak perlu sediakan kad kerana masing-masing kenal antara satu sama lain.

Berikut perkembangan teknologi dan ekonomi negara sekarang, cara mengundang tetamu pun pelbagai.

Undangan secara mulut dah tak main lagi. Semua orang tak kira di kampung kecil, sehabis-habis pokai pun guna kad yang tertera peta rumah bagi memudahkan tetamu datang. Bagi yang celik IT undangan perkahwinan juga dibuat melalui alam siber seperti facebook. Klik aje sama ada nak datang atau tidak, tuan rumah sudah dapat menganggarkan jumlah tetamu yang hadir.

Banyak kemudahan untuk menyampaikan undangan bagi meraikan pengantin.

Perkahwinan suatu ikatan yang suci yang wajar diumumkan supaya tidak berlaku fitnah kemudian hari. Kalau lelaki, mereka boleh sembunyi perkahwinan kerana tiada yang terjejas dari segi fizikal. Bagi wanita lain, kalau sudah dan mudah dapat zuriat, mereka pasti melalui proses mengandung.

Jika perkahwinan tak diumum, tentu ramai yang mengata di belakang...anak siapa pula dikandungnya.,,,siapa bapanya?

Perkahwinan hanya sekali bagi wanita. Jadi majlis diadakan itu penuh bererti untuk mengisytiharkan wanita itu sudah berpunya.

Bagaimanapun, dalam Islam yang diutamakan untuk mengadakan majlis perkahwinan ialah akad nikahnya yang mesti dihadiri wali dan saksi. Islam menggalakkan majlis diadakan sederhana dan tidak membebankan keluarga serta pasangan yang berkahwin.

Apabila bercakap mengenai majlis kahwin, Kak Ani teringat kisah seorang kawan yang berkahwin pada usia muda dengan lelaki yang sudah berumur.

Ketika dia dan suami bersanding, ramai yang mengesyaki dia berkahwin duda atau mungkin dengan suami orang kerana usia yang tidak sepadan.

Bagaimanapun, kawan itu tahu siapa pasangannya. Baginya apabila sudah jodoh, tak kiralah apa orang kata, asalkan dia kenal siapa suaminya. Yang penting suaminya masih teruna, cuma lewat kahwin kerana terlalu komited menguruskan orang tua dan adik beradik. Sebagai anak lelaki tunggal, dia terlalu mengambil berat terhadap keluarganya sehingga terlupa untuk mencari pasangan hidup. Bagaimanapun, kalau sudah jodoh tidak ke mana. Dia akhirnya bertemu jodoh dengan wanita yang jauh lebih muda tetapi matang dalam menguruskan rumah tangga. Mereka kini hidup bahagia. Apabila sudah beranak pinak, sudah tidak nampak jarak usia antara mereka.

Anda mahu berkongsi masalah rumah tangga dan mendapatkan nasihat pakar? Hantar ke e-mel bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Inspirasi, Berita Harian, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas