Papar: Datuk Seri Najib Razak semalam berkata, Barisan Nasional (BN) hampir melengkapkan senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Senarai itu kata Perdana Menteri akan dimuktamadkan selepas meneliti latar belakang calon, penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan aspek keselamatan.
Sehubungan itu, katanya, Parlimen dibubarkan selepas beliau, parti komponen BN dan rakyat sudah benar-benar bersedia menghadapi PRU-13.


Ketiga-tiga aspek berkenaan katanya, penting bagi memastikan hanya calon mampu menang diberikan tanggungjawab mempertahankan kerusi BN dan merampas semula kerusi yang jatuh kepada pembangkang.

Terang dasar kerajaan

Sekarang ini tugas saya berjumpa rakyat menerangkan dasar kerajaan BN supaya rakyat tahu dan memahami satu undi untuk BN adalah satu undi untuk menjayakan program transformasi negara, keadilan dan masa depan yang lebih cerah, katanya selepas program Pemimpin Bersama Rakyat di padang pekan ini, semalam.

Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua UMNO Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail serta Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Ditanya mengenai perbincangan beliau dengan pemimpin parti komponen BN sepanjang menjelajah negara menjelang PRU-13, Najib berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persiapan jentera BN tetapi masih ada beberapa perkara kecil peringkat akar umbi yang perlu diselesaikan.

Sementara itu, ketika berucap di depan kira-kira 50,000 hadirin pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Beaufort; Najib mengingatkan rakyat supaya tidak memilih pemimpin yang tidak pernah melakukan sesuatu ketika berkuasa tetapi menabur janji selepas hilang kuasa semata-mata untuk meraih undi.

Najib berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak melakukan apa-apa yang memanfaatkan rakyat, khususnya di Sabah tetapi selepas hilang kuasa hanya cekap menabur janji.

Dia datang Sabah, dia kata kasihan rakyat Sabah. Inilah pemimpin yang masa dia berkuasa, apa dia buat? Dua penggal dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tagih simpati

Kita tak boleh pakai pemimpin yang apabila tak ada kuasa, dia mula jual janji, nak tagih simpati, tuduh BN (Barisan Nasional) tak tolong rakyat, katanya.

Najib berkata, hal sama terbukti apabila pembangkang di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang hanya mampu menunaikan 15 peratus daripada keseluruhan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008 manakala baki 85 peratus sekadar tinggal janji.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tidak memberi peluang kepada pemimpin yang berasa dirinya lebih besar dan utama berbanding parti.

Merujuk kepada tindakan bekas Ketua UMNO Beaufort, Datuk Lajim Ukin keluar daripada parti dan menubuhkan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) kononnya membela nasib rakyat Sabah, Perdana Menteri meminta pengundi di Parlimen Beaufort bijak menggunakan kuasa undi.

Dalam sejarah UMNO, pengasas parti, Allahyarham Datuk Onn Jaafar malangnya meletak jawatan tetapi UMNO kekal kerana parti lebih besar dan penting daripada mana-mana individu, katanya.