Tetap pamer aksi terbaik walaupun kena 'boo' daripada penyokong lawan

LAUNGAN boo! yang diterima Wakaka Crew daripada ratusan penyokong Giller Battle Crew (GBC) semasa persaingan pusingan ‘battle’ pertandingan akhir Showdown 2010 tidak menjatuhkan semangat mereka.

Walaupun penyokong GBC seolah-olah menguasai dewan KL Live, Jalan Sultan Ismail malam Rabu lalu, namun Wakaka Crew membuktikan kreativiti, kelainan dan tenaga mereka di dalam persaingan akhir ini begitu memeranjatkan hampir 2,000 penonton yang menyaksikannya.
Pertandingan akhir Showdown 2010 yang menyaksikan tiga kru bertanding selain WKK dan GBC, kru yang tidak kurang hebatnya juga iaitu Floor Fever (FF) turut menjadi kru diminati ramai.


Dengan kemenangan WKK yang membawa pulang wang tunai RM50,000, mereka yang dianggotai tujuh ahli yang diketuai Muhamad Haslam Abd Rahman, 24 atau Alam, Abdul Azim Md Aris,22 (Azim), Muhammad Hairi Md Rani, 17 (Heri), Mohd Nasiruddin Zainal Abidin, 23, (Naz), Muhamad Norizwan Anas, 22 (Wan), Muhammad Ezhan Asman, 24, (Joe) dan Mohamad Fitri Ibrahim, 19 (Ayie).

Menurut Alam, kemenangan besar yang diperoleh mereka tidak memberi sebarang nilai tanpa sokongan peminat yang tidak henti menghantar undian hingga berakhirnya program ini.

“Apalah nilai RM50,000 ini jika hendak dibandingkan dengan sokongan mereka. Kami begitu terharu dengan sokongan mereka yang tidak henti bersorak menyebut nama kami setiap kali kami keluar ke pentas. Inilah semangat yang dapat kami bertahan hingga ke akhirnya,” katanya yang ditemui selepas berakhirnya program itu.

Dengan kemenangan itu juga, WKK ingin melaksanakan hasrat mereka selepas berpakat untuk memberi semula kepada penyokong dan peminat yang mencintai bidang tarian ini.
“Secara kebetulan, kami juga memiliki studio tarian sendiri yang diberikan oleh Kompleks Rakan Muda Puchong untuk menggunakan sebaik mungkin. Mereka mempercayai kami untuk menggunakan kemudahan yang disediakan itu.

“Duit yang kami menang ini, kami akan mengubah studio itu untuk lebih selesa dan melatih kanak-kanak atau sesiapa saja yang meminati bidang tarian ini. Kami juga mahu jadikan tempat ini adalah tempat yang selamat sekiranya ibu dan bapa menghantar anak mereka ke sini,” katanya.

Pada pertandingan akhir itu, tiga kru diberikan tiga tugas setiap mereka untuk dipersembahkan. Tugasan pertama iaitu melakukan persembahan daripada episod terbaik sebelum ini, jatidiri sebenar kru mereka dan persembahan yang tidak pernah dijangka oleh orang lain.

Pada tiga persembahan ini, mereka diadili juri profesional iaitu penyanyi rapper, Joe Flizzow, koreografer, Maple Loo, artis Bboy Choco dan penerbit, Boudeng Edruce.

Showdown diteruskan musim depan

PERTANDINGAN tarian jalanan, Showdown 2010 yang berakhir malam kelmarin menjadi pembuka laluan kepada penggemar tarian apabila program yang diperkenalkan 8TV menerima sambutan di luar jangkaan.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, antara program tarian jalanan terbesar di Asia Tenggara itu memberi impak yang begitu kuat sehingga pihaknya berhasrat untuk meneruskan pada tahun depan.

“Kesannya begitu kuat dan program bertenaga ini menarik ramai masyarakat menggemarinya. Bagi mereka yang pertama kali menyaksikannya pasti terpegun dengan aksi tarian yang hebat.

“Sepanjang ia disiarkan lagi saya dapat melihat persaingan antara kru yang bertanding begitu kuat dari semua yang memasuki pertandingan ini, ia sesuatu sukar bagi juri untuk menentukan kehebatan, kreativiti dan kelainan setiap kru yang bertanding.

“Apa yang pastinya program ini akan diteruskan di masa akan datang kerana meyakini semakin hari semakin ramai remaja yang berminat untuk menceburi bidang tarian ini,” katanya yang turut merancang sesuatu program bersama Wakaka Crew dan 8TV dalam masa terdekat ini.