Santapan mata BH Online

Santapan mata

Oleh Hamidon Abdullah
2012/01/22

Tip pilih kertas dinding, tepati tema dekor dan tahan lama

SELAIN berfungsi melindungi dalam rumah dari luar, dinding adalah pembahagi ruang - baik berciri kekal atau binaan sementara. Binaan bahagian dalam dinding lebih kepada kesempurnaan bahan kemasan serta estetika berbanding di luar.

Manakala kertas dinding adalah bahan kemasan dinding yang paling mudah dipasang selain melahirkan karektor menarik ruang. Kelebihannya adalah dapat menutupi permukaan cela sama ada kerana sudah kusam atau warnanya yang kurang menyerlah.

Di pasaran kini, ada pelbagai pilihan corak, warna serta tekstur sekali gus membuka peluang untuk anda melontar kreativiti di dinding. Namun, terlalu banyak pilihan juga boleh jadi membebankan terutama dalam memilih yang terbaik bagi kediaman.

Membuat pilihan

Memilih kertas dinding lebih sukar berbanding cat. Ini kerana ia perlu mengambil kira elemen warna, corak dan tekstur. Sebaik memilih menggunakan kertas dinding, kenal pasti sama ada dinding itu sesuai untuk diaplikasikan dengan bahan ini.

Apakah motif pilihan sesuai digabungkan dengan kemasan dan lantai sedia ada? Persoalan ini perlu dijawab dulu sebelum disenaraikan keutamaan untuk mengelak pilihan salah.

Kertas dinding adalah bahan kemasan lembut, diperbuat daripada vinil, tekstil dan fabrik yang mempunyai kelebihan corak, warna serta tekstur. Ia juga mempunyai keupayaan menyerap bunyi, mudah disesuaikan atau fleksibel.

Kelebihan kertas dinding

- Ada banyak pilihan warna, corak dan tekstur.

- Boleh meniru kesan kemasan seperti batu, kayu, batu-bata dan jubin dengan harga murah namun menawarkan kesan visual sama.

- Kos pelbagai iaitu bermula dari murah hingga mahal bergantung bahan. Manakala pemasangan boleh dilakukan sendiri atau mengupah pakar.

- Kertas dinding fabrik berbentuk tiga dimensi berfungsi menyerap bunyi serta memberi kesan senyap dan damai di ruang.

- Selain memberi nilai baru di dinding, ia berupaya menutup kesan retak, cat lama serta menutup sebarang kecacatan struktur senibina.

- Teknik pemasangan secara kering pula menyebabkan urusan menghias menjadi mudah dan cepat siap selain menyajikan kelebihan dari segi kecantikan dan karektor ruang.

- Pemasangan kertas dinding fabrik bukan secara rata tetapi dilakukan melalui pelbagai cara. Misalnya, secara berlipat atau gantung. Ia sebenarnya menunjukkan kreativiti bagaimana corak fabrik, warna dan tekstur dimanfaatkan.

- Bukan sekadar dinding, kertas dinding mampu disuai padan dengan konsep ruang secara menyeluruh serta fabrik digunakan.


Panduan mengguna kertas dinding

Kos murah dan sangat senang dipasang menjadikan kertas dinding popular. Namun, berikut adalah beberapa panduan jika ingin memilih produk ini sebagai kemasan dinding.

- Pilih jenis yang boleh disesuaikan dengan gaya keseluruhan hiasan dan gaya seni bina bangunan. Misalnya, jika hiasannya berkonsepkan gaya klasik seperti gaya zaman Renaissance atau Boroque sedangkan konsep reka bentuk ruang serta seni bina bercirikan moden atau tradisional, maka jelas ia tidak sesuai dan terkeluar dari karektor hiasan dalaman.

- Pemilihan corak dan gayanya perlu dikaji supaya kertas dinding yang dipilih dan dipasang mampu bertahan untuk suatu jangkamasa panjang. Jika memilih corak dan gaya berdasarkan emosi serta kehendak semasa, pastinya anda akan cepat bosan selain lama-kelamaan hilang daya tarikan estetikanya.

- Hadkan warna serta corak kertas dinding. Sebaiknya, pilih yang memberi kesan harmoni di ruang. Minta pandangan profesional bagi mendapatkan kertas dinding seragam gaya penataan.

- Tesktur kertas dinding memberi kesan tiga dimensi pada dinding. Maka, pastikan tekstur pilihan mempunyai kualiti baik serta halus supaya tidak berlaku perubahan ketara antara satu ruang dengan ruang yang lain.

- Biarpun kualiti kertas dinding yang digunakan terbaik, namun jika kerja pemasangannya tidak sempurna, ia mampu menjejaskan keindahan seluruh ruang.


Tip pilihan kertas dinding

Sebelum pilih perlu tahu kesesuaian kertas dinding dengan konsep ruang. Setiap bahan serta kemasan digunakan perlu mempunyai spesifikasi dan kriteria berikut:

Fungsi

- Selamat dan selesa
- Tahan lasak
- Mudah dibersihkan, dijaga dan dibaiki
- Memerlukan darjah ketahanan kebakaran
- Kesesuaian dari nilai akustik

Estetika

- Nilai kecantikan dari segi warna dan keadaan semula jadi kawasan terbabit pemasangannya.
- Tekstur sesuatu bahan yang memberi kesan visual.
- Rekaan corak yang boleh disuai padan dengan sebarang perabot dan kemasan.

Ekonomi

- Kos awalan yang diperlukan serta kos pemasangan.
- Kos sepanjang hayat yang mengambil kira ketahanan bahan selain belanja membersih, menjaga dan membaiki termasuk kos penggantian apabila perlu berbuat demikian.