Risiko kongsi alat solek
Tahap kebersihan, keselamatan penggunaan perkakas salun kecantikan masih diragui

Suatu ketika dulu terapi spa ikan begitu popular. Banyak salun kecantikan dan pusat spa menawarkan perkhidmatan berkenaan. Menerusi terapi itu orang ramai merendamkan kaki di dalam kolam air yang diletakkan berpuluh-puluh spesies ikan tertentu dikatakan mampu membuang kotoran dan toksin dalam tubuh.

Namun, rawatan itu tidak lagi dilihat di mana-mana pusat spa selepas Kementerian Kesihatan memberi amaran risiko terapi ikan yang boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya termasuk Hepatitis C, HIV/AIDS dan tibi serta beberapa penyakit lain yang berjangkit menerusi bawaan air.
Orang ramai pula mula sedar mereka tidak sepatutnya berkongsi dalam kolam sama untuk rawatan berkenaan bagi mengelak sebarang risiko jangkitan penyakit.


Bagaimana pula kesedaran orang ramai dan pengusaha salun kecantikan terhadap tahap kebersihan, keselamatan, cara penggunaan perkakas, alat solek dan lain berkaitan rawatan dari hujung rambut ke hujung kaki?

Pernahkah anda terfikir risiko menggunakan sikat yang sama ketika mendapatkan perkhidmatan di salun rambut? Menggunakan alat solek seperti berus, maskara, gincu, pemerah pipi dan bedak yang sama dengan pelanggan lain.

Bayangkan, wajah cantik menawan selepas disolek juru mekap, kemudian rasa gatal, kulit sensitif, kurap dan sebagainya. Jurusolek juga tidak tahu status kesihatan individu yang disolek dan mungkin satu daripada 10 individu yang ditatarias menghidap penyakit berjangkit.

Hakikatnya, rata-rata wanita mengunjungi salun kecantikan dan mendapatkan perkhidmatan jurusolek tidak mempertikaikan mereka menggunakan alat solek yang sama. Kita yakin mereka hanya memberikan saja wajahnya disolek.
Ketika ini memang tidak ada peraturan mewajibkan semua bahan kosmetik, berus dan alat solek distrel. Justeru, tidak ramai yang melakukan pensterilan kepada alat digunakan kerana ia meningkatkan kos perkhidmatan kepada pengguna atau jurusolek.

Oleh itu, sejauh mana jurusolek mengutamakan kebersihan dan keselamatan dalam setiap barangan yang digunakan. Berapa ramai kalangan jurusolek yang menggunakan alat solek seperti berus mekap, sikat dan pencukur pakai buang atau melakukan pensterilan terhadap peralatan yang digunakan untuk memastikan keselamatan pelanggannya terjamin?

Jangkitan virus

Istilah ‘double dipping’ atau celupan berganda adalah istilah yang diguna pakai oleh kebanyakan jurusolek profesional. Ia merujuk kepada tambah nilai produk yang sama menggunakan aplikasi lebih daripada sekali.

Sebagai contoh, cecair maskara yang habis ditambah dengan cecair baru tetapi masih menggunakan berus dan tiub yang sama sebenarnya memberi risiko jangkitan kepada pengguna apabila bakteria yang sudah ada pada alat berkenaan dipindahkan kepada individu lain.

Pencemaran silang dan jangkitan melalui berus dan alatan solekan sudah tercemar dengan mikro organism, bakteria, virus dan kulat daripada seorang kepada individu lain.

Dengan mengetepikan amalan kebersihan khidmat solekan studio, spa, kaunter kecantikan sehingga kepada solekan pengantin mungkin boleh menyebabkan jangkitan konjunktivitis, blepharitis, impetigo, kurap, jerawat dan herpes.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

INFO

Risiko jangkitan akibat mencelup alatan berulang kali (double dipping)


  • Konjunktivitis (mata merah jambu) - penyakit radang yang menyebabkan mata kemerahan, gatal dan berair.

  • Blepharitis - radang bakteria terhadap kelopak mata.

  • Ulser kornea - menjejaskan penglihatan dan boleh menyebabkan buta.

  • Herpes simplex - virus yang sangat mudah berjangkit mudah dipindahkan oleh berus bibir tercemar.

  • Kurap - jangkitan pada kulit yang boleh membiak dengan cepat dalam produk seperti pemerah pipi.

  • Impetigo - jangkitan kulit yang mudah berjangkit disebabkan bakteria staphylococcus, mudah dipindahkan melalui berus dan peralatan lain.