Penerbangan Malaysia (MAS) mengumumkan promosi tambang domestik dan antarabangsa yang ditawarkan mulai 11 Mac 2013, serentak dengan pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), masih lagi terbuka sehingga 31 Mac ini.

Naib Presiden Kanan Serantau Malaysia dan rantau ASEAN MAS, Muzammil Muhammad, berkata jika dibandingkan dengan pameran MATTA sebelumnya, sambutan untuk tahun ini amat memberangsangkan.
“Sambutannya mengatasi jangkaan kami dan pengguna mengambil peluang untuk membeli tambang istimewa oneworld.


“Tawaran ini masih terbuka hingga 31 Mac dan kami menggalakkan pengguna mengambil peluang semasa cuti sekolah untuk memanfaatkan tawaran ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Untuk perjalanan domestik, MAS berkata, pengguna boleh terus mendapatkan tawaran itu untuk perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Tambang kelas ekonomi pula merangkumi antaranya adalah Kuala Lumpur ke destinasi Sabah dan Sarawak lain seperti Kuching, Miri, Sibu, Labuan dan Bintulu ditawarkan pada RM150 sehala dan RM300 pergi-balik.

Tambang sama juga dikenakan untuk perjalanan dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur.
Bagi rangkaian antarabangsa MAS, ia berkata laluan A380 amat popular di kalangan pengembara.

London jelasnya, terus menjadi destinasi jarak jauh yang popular dengan lebih sembilan peratus daripada pembelian sementara Hong Kong pula destinasi pilihan dengan lebih 13 peratus daripada pengguna.

Paris juga antara destinasi A380 pilihan ramai sementara destinasi lain seperti Taipei, Beijing dan Shanghai terus popular di kalangan hampir 15 peratus pembeli, katanya.

Syarikat penerbangan itu menawarkan tambang menarik "semua dalam satu" dari RM699 ke Hong Kong, RM974 ke Taipei, RM999 ke Shanghai dan Beijing dan RM2499 ke London, Frankfurt, Paris dan Amsterdam.

Selain daripada itu, pengembara boleh menikmati tambahan 10 kilogram percuma elaun bagasi dan caj lebihan bagasi yang dikurangkan untuk perjalanan di semua kelas.

Pengguna dipelawa membuat tempahan tawaran ini secara dalam talian menerusi www.malaysiaairlines.com, Pusat Panggilan bebas tol 24-jam MAS di 1300 88 3000 dan pejabat jualan tiket seluruh negara serta dengan ejen yang dilantik. - BERNAMA