Kuala Lumpur: Pasukan keselamatan yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) layak mengundi secara pos pada PRU-13.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata bagaimanapun, mereka hanya boleh berbuat demikian sekiranya bertugas pada hari mengundi awal.
“Jika anggota keselamatan tidak boleh mengundi awal kerana bertugas pada hari itu, mereka boleh memohon undi secara pos,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat SPR bersama pegawai kanan dan wartawan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Pasukan keselamatan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengawal Pantai Timur Sabah berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu, sejak bulan lalu.

Mengikut peraturan baru SPR, anggota tentera dan polis yang bertugas boleh mengundi lebih awal iaitu tiga hari sebelum hari pengundian.

Anggota media yang bertugas pada hari pengundian pula boleh memohon undi pos.
Wan Ahmad berkata, permohonan mengundi melalui pos boleh dibuat kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bermula pada tarikh pembubaran Parlimen sehingga hari kedua selepas hari penamaan calon.