Pertempuran  6  jam
Lahad Datu: Seorang tentera terkorban manakala seorang cedera dalam pertempuran dengan pengganas Sulu di Kampung Sungai Nyamuk, berhampiran Kampung Tanjung Batu dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, dua pengganas Sulu turut dibunuh manakala seorang lagi dipercayai cedera tetapi dibawa lari rakannya ketika Ops Daulat memasuki hari kelapan dengan pertempuran bermula jam 7.45 pagi hingga 1.50 tengah hari.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata pasukan keselamatan menggerakkan operasi mencari dan menggeledah di Kampung Sungai Nyamuk sebelum pertempuran itu bermula.


Seorang anggota tentera kita gugur manakala seorang lagi cedera dan dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan, katanya pada sidang media di FELDA Sahabat 16 dekat sini, malam tadi.

Anggota keselamatan yang terkorban dikenal pasti sebagai Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24.

Hamza berkata, jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau ke Pengkalan Chepa, Kelantan dan dijangka tiba pagi ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media di Kuala Lumpur, berkata, mangsa adalah dari Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan Tawau dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Kematian pertama tentera

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada sidang media bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program lawatan Timbalan Perdana Menteri di pusat penempatan sementara penduduk di Chenderawasih, dekat sini pagi semalam berkata, pasukan keselamatan bertembung pengganas jam 7.45 pagi.

Di situ berlaku pertempuran dan musuh melarikan diri. Anggota pasukan keselamatan menjejaki musuh dan sekali lagi bertempur pada jam 10.45 pagi sebelum Prebet Ahmad Hurairah gugur, katanya.

Anggota tentera yang cedera dikenali sebagai Koperal Khairul Anuar dan dirawat di Hospital Duchess of Kent. Keadaannya dilaporkan stabil.

Kematian Allahyarham Ahmad Hurairah adalah kes pertama pasukan ATM sejak Ops Daulat dilancar 5 Mac lalu.