Sejak akhir-akhir ini banyak kejadian tanah runtuh atau kegagalan cerun berlaku di negara kita. Ada yang menyebabkan kematian, banyak pula yang menyebabkan kemusnahan harta benda sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas atau ketidakselesaan masyarakat.

Apa yang menarik ialah setiap kali berlaku bencana, pemberita akan menyebarkan pelbagai berita mengenai kejadian ini. Komuniti pula sangat prihatin dan mempunyai pandangan tersendiri mengenai apakah punca berlakunya tanah runtuh.
Tanah runtuh berlaku pada cerun bukit. Semakin curam sesebuah cerun semakin mudah tanah runtuh berlaku. Yang sering menjadi tanda tanya kepada masyarakat, mengapa ia berlaku di tempat tertentu dan tidak di sepanjang cerun bukit? Apakah cerun di belakang rumah mereka bakal runtuh? Apa yang menyebabkan ada bahagian cerun runtuh dan bahagian lain boleh bertahan? Bolehkah kita mengetahui cerun mana yang bakal runtuh dan bila akan berlaku?


Banyak faktor menyebabkan tanah runtuh. Antaranya sudut cerun yang curam, jenis tanah atau batuan yang membentuk cerun, struktur yang ada di dalam batuan, proses luluhawa dan hakisan berterusan. Banyak juga yang berlaku disebabkan perparitan di muka cerun tidak berfungsi atau tembok penahan dibina untuk mengukuhkan cerun gagal. Semua ini dikenali sebagai faktor penyebab kegagalan cerun.


Faktor hujan


Hujan atau air yang bertakung di muka cerun lazimnya menjadi faktor kegagalan. Air yang mengisi rongga tanah atau batuan pada muka cerun boleh melemahkan struktur cerun sehingga berlakunya kegagalan. Apabila hujan berpanjangan dan permukaan cerun mulai tepu dengan air, cerun tidak dapat menampung beratnya sehingga gagal akibat tarikan graviti. Hujan menjadi faktor pencetus terpenting kejadian tanah runtuh di negara kita.

Proses berlaku kegagalan pula boleh pelbagai. Daripada sangat perlahan hingga sangat pantas. Proses ini bergantung kepada jenis batuan yang membentuk cerun, sudut permukaan gelinciran, kandungan air dalam tanah dan mekanisma kegagalan – aliran, gelinciran atau jatuhan. Ada cerun bergerak beberapa sentimeter setiap tahun, bergerak beberapa meter setiap musim hujan. Ada pula bergerak sekali gus, sepantas beberapa meter sesaat.
Oleh itu, jika ahli geologi mengkaji cerun, mereka dapat mengesan apakah sesuatu cerun itu masih stabil, sedang bergerak, atau mengalami kegagalan satu ketika dulu. Mereka juga dapat mengkaji apakah punca kegagalan, apakah kadar pergerakan dan mekanisma kegagalan. Semua maklumat ini penting untuk membolehkan jurutera merekabentuk jenis dinding penahan bersesuaian dan untuk komuniti melihat apakah cerun di belakang rumahnya stabil atau mengalami pergerakan.

Anda perlu sedar, bagi tujuan menilai kestabilan cerun, kita perlu membezakan dua jenis cerun – cerun semula jadi dan cerun buatan manusia. Cerun semula jadi ialah cerun perbukitan atau pergunungan yang belum diganggu manusia. Cerunnya dalam keadaan asal. Cerun semula jadi juga boleh runtuh. Kebanyakan tanah runtuh dilaporkan di negara maju berlaku di cerun semula jadi.


Kegagalan cerun buatan manusia


Cerun buatan manusia ialah apabila manusia meratakan tanah untuk pembinaan, mereka memotong cerun atau menambak untuk menyediakan tanah rata bagi memudahkan pembinaan. Cerun ini adalah buatan manusia dan perlu dipastikan kestabilannya. Jurutera lazimnya bertanggungjawab membina cerun begini. Mereka mempunyai keupayaan dan teknologi memastikan cerun buatannya terus stabil. Malangnya, kebanyakan kegagalan cerun di negara kita adalah pada cerun buatan manusia atau ‘engineered slope’ ini. Mengapa keadaan begini boleh berlaku?

Isu cerun di negara kita masih tiada penyelesaian yang memuaskan. Walaupun kita ada beberapa dasar dan garis panduan pembangunan di kawasan berbukit, pelaksanaan dasar ini kurang mendapat sambutan. Kelemahan ini berpunca daripada kesedaran masyarakat yang masih rendah, pemaju masih ghairah untuk membina rumah di kawasan berbukit dan pihak berkuasa tempatan masih kekurangan keupayaan untuk memantau kepentingan kestabilan dalam pembangunan.

Bencana tanah runtuh adalah isu kebangsaan yang serius. Masanya telah tiba untuk semua pihak – pembuat dasar, perancang, ahli geologi, jurutera dan pemaju – duduk semeja untuk mengatasi isu ini secara bijaksana.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara