DUA MINGGU ini kita membaca di akhbar mengenai tuntutan gaji pokok pengawal keselamatan oleh Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) dan pensyarah farmasi terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tahun lalu saya ada membaca beberapa rayuan dan keluhan pensyarah IPTA (bekas guru yang berpindah ke IPTA) Gred DS45 yang disiarkan oleh pelbagai media perdana. Sehingga kini, nasib mereka masih tiada ketentuan jawapan daripada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi mahupun JPA.
Sebagai seorang profesor pencen yang pernah menjawat jawatan Dekan di sebuah universiti terbaik di negara ini, saya melihat pensyarah Gred DS45 dianaktirikan. Sebahagian besar pensyarah ini adalah bekas guru yang sudah berkhidmat di sekolah lebih dari lebih 15 tahun. Dengan pengalaman, kepakaran dan kebolehan yang baik, mereka diterima menjadi pensyarah di IPTA. Kini, setelah berkhidmat lima tahun dan disahkan dalam jawatan di IPTA, malangnya gaji mereka amat rendah berbanding gaji guru sekolah yang bergred DG44, DG48, DG52 (guru cemerlang) atau pensyarah IPG yang bergred DG48 atau DG525.

Bayangkan dengan pengalaman bekerja 20 tahun itu, gaji pensyarah ini masih berada dalam kategori ‘kemiskinan’ jika diukur daripada kadar Keluaran Negara Kasar (KNK) negara. Gaji guru yang sudah melalui beberapa kali penstrukturan semula itu tidak memihak kepada pensyarah IPTA Gred DS45 ini. Bayangkan juga seorang guru Tingkatan 6 (DG48) mendapat bayaran gaji lebih tinggi daripada seorang pensyarah IPTA DS45 yang terpaksa mengajar kumpulan sarjana, menulis jurnal, menulis buku, menulis kertas kerja, menghadiri seminar, membuat penyelidikan dan mengajar kumpulan ijazah pertama yang jumlah pelajarnya melebihi 100 orang bagi satu-satu kursus tetapi gaji mereka ini jauh lebih rendah daripada gaji seorang guru.

Saya melihat sistem gred gaji IPTA ialah DS45 (tanpa PhD) dan DS52 (PhD ke atas) ini sudah tidak sesuai lagi. Terus terang saya katakan bahawa guru yang menjadi pensyarah di IPTA, dengan pengalaman mengajar serta sudah membuktikan kepakaran mereka dalam bidang tertentu (untuk melayakkan mereka menjadi pensyarah IPTA) itu, mereka sebenarnya mempunyai ilmu yang lebih baik daripada sesetengah pensyarah muda yang mempunyai PhD tetapi tidak menguasai ilmu pedagogi. Sayangnya, pengalaman, kepakaran dan kebolehan ini tidak dihargai oleh IPTA mahupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kepada Bahagian Sumber Manusia dan KPT, pandang-pandanglah kumpulan (bekas guru) ini supaya mereka beroleh pendapatan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan juga setaraf dengan dengan rakan mereka yang bergelar guru di sekolah. Tugas seorang pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah.

Jika KPT ingin bertegas dengan ‘kelayakan’ PhD, saya ingin mencadangkan supaya golongan ini diberikan kenaikan gaji setaraf dengan skim guru cemerlang (DG48/DG52) supaya pengalaman bertugas dan kepakaran pensyarah kumpulan ini dihargai.
BEKAS DEKAN FAKULTI PENDIDIKAN,
Kuala Lumpur.