Kuala Lumpur: Kritikan segelintir pihak terhadap operasi pasukan keselamatan negara menangani penceroboh bersenjata di Sabah, adalah pandangan tidak bertanggungjawab tanpa memahami doktrin pertempuran sebenar.

Bekas Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Amir Baharudin, berkata tindakan mereka membuat kecaman jelas bertujuan menangguk di air keruh untuk kepentingan tertentu.
Sambil mengakui amat sedih atas sikap pihak berkenaan, beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengambil kira sebarang perbezaan, sepatutnya memberi semangat dan sokongan padu kepada pasukan keselamatan yang bekerja keras serta berkorban mempertahankan negara.


Di mana-mana negara sekali pun, apabila berlaku keadaan ancaman sebegini, seluruh rakyatnya mesti bersatu demi kedaulatan tanah air tercinta. Mereka yang bertindak sebaliknya boleh disifatkan sebagai pengkhianat, katanya kepada BH, semalam.

Dalam konteks ini, Amir berkata, operasi pasukan keselamatan negara menangani insiden di Sabah menerusi Ops Daulat menepati doktrin tentera serta doktrin kerjasama antara polis dan tentera.

Operasi dalam negeri

Ini operasi dalam negeri menentang pencerobohan pengganas dan bukan kumpulan tentera dari negara berdaulat lain. Maka, ia operasi polis dengan dibantu angkatan tentera, katanya.
Diminta mengulas mengenai laporan kenyataan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein yang menyertai pembangkang dan dilantik sebagai Jeneral Politik PKR baru-baru ini, mendakwa insiden di Lahad Datu sepatutnya boleh ditangani dalam masa lebih singkat seperti peristiwa kumpulan Al-Maunah di Sauk pada 2000 hanya mengambil masa empat hari kerana wujud rantaian arahan lebih jelas, Amir berkata: Secara prinsip dalam doktrin tentera, chain of command (rantaian arahan) adalah sama dalam mana-mana operasi, iaitu membabitkan strategic commander, operational commander dan tactical commander.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyiasatan Angkatan Tentera terhadap insiden di Sauk itu menjelaskan, golongan musuh, situasi dan senario dihadapi membabitkan pengganas bersenjata di Sabah adalah berbeza dengan kumpulan Al-Maunah, sekali gus memerlukan tindakan berlainan.