KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mempunyai asas kukuh untuk berkata dengan yakin bahawa Barisan Nasional (BN) mampu menguasai semula negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, demikian menurut penganalisis politik.

Mereka melihat momentum sokongan rakyat yang kian menebal kepada BN selepas Perdana Menteri melaksanakan pelan transformasi negara bukan sahaja dibuat dengan bersungguh-sungguh tetapi juga jelas memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Faktor itu, kata mereka, berperanan sangat penting untuk mengubah gelombang sokongan rakyat kepada kerajaan BN, apatah lagi rakyat kini berasa mempunyai hubungan yang 'dekat' dengan Perdana Menteri dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang saban minggu turun ke padang untuk meninjau dan menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

"Saya melihat sokongan rakyat kepada BN semakin pulih kerana dasar yang dilaksanakan kerajaan adalah menyeluruh dan adil kepada semua termasuk kaum-kaum minoriti," kata Prof Dr Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia. - BERNAMA