KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Muhyiddin yang diiringi isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dijadual tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Katanya, Muhyiddin akan menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung Petai Bubus di sini disusuli dengan menghadiri majlis Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri.

"Program itu dijadual berlangsung di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu, Kampung Petai Bubus," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Ahmad berkata, Muhyiddin kemudiannya akan menghadiri program Himpunan Rakyat 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu Bersama Timbalan Perdana Menteri di Padang Bola Rhu Rendang, Marang, dan pulang ke Kuala Lumpur selepas majlis berakhir. - BERNAMA