Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang merayu kerajaan mengkaji semula penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, beliau amat berharap kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan AES supaya peraturan berkenaan tidak membebankan rakyat.
"Kita berharap sistem ini ditangguhkan..., jangan menganiaya rakyat.. kalau boleh kita harap kerajaan turut mansuhkan saman lebih 60,000 pesalah trafik yang dikenal pasti menerusi AES ini," katanya ketika mencelah pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat, semalam.


Tempoh percubaan

Terdahulu, Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan, berpendapat sistem penguatkuasaan itu masih dalam tempoh percubaan.

"Kita tahu AES adalah untuk mengurangkan kemalangan tetapi adalah wajar juga untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenainya..., kita tidak mahu ia menjadi satu perangkap atau untuk mengaut keuntungan," katanya.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi dikenal pasti sering berlaku kemalangan. Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan selain mampu mengurangkan kemalangan maut.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan berpuas hati dengan impak kesalahan lalu lintas di kalangan pengguna jalan raya berikutan penggunaan kamera AES.

Cho Ha, berkata rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga membuktikan berlaku pengurangan dalam kesalahan lalu lintas di beberapa kawasan di mana 14 kamera AES ditempatkan.

Fasa pertama pelaksanaan AES berjaya mengenal pasti 63,558 pesalah trafik setakat ini, sama ada memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pula mencadangkan supaya lebih banyak papan tanda amaran diletakkan supaya pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati.