Manfaat kehidupan dunia

Manfaat kehidupan dunia

Oleh Dr Muhammad Zain
bhagama@bharian.com.my
2013/03/18

Lakukan amalan baik untuk bekalan akhirat tidak kira umur panjang atau pendek

Ramai mengimpikan diberi umur yang panjang. Bahkan, setiap kali menjelang ulang tahun kelahiran seseorang, pasti ucapan yang diberikan adalah 'semoga panjang umur'. Siapa yang tidak mahu panjang umur dan jika diberi peluang hidup lama, pasti banyak keinginan akan dilaksanakan.

Namun, Rasulullah SAW bersabda: “Umur umatku antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih daripada itu.” (Riwayat Tarmizi)

Lanjut usia untuk beribadah

Jika ada yang menjangkaui 70 tahun, itu adalah satu lanjutan usia yang diberikan kepada segelintir manusia saja supaya dapat segera bertaubat dan melakukan amal ibadah dengan sebaik-baiknya untuk bekalan ke akhirat.

Abu Bakar ada meriwayatkan, seseorang berkata: “Ya, Rasulullah, siapakah orang yang paling baik? Rasulullah bersabda: Orang yang panjang umur dan baik amalnya. Lelaki itu bertanya lagi: Lantas, siapakah orang yang paling buruk? Rasulullah bersabda: Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya.” (Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

Hidup dan mati kita adalah rahsia Allah SWT yang tidak dapat disingkapkan sejak lahiriah sehingga malaikat maut menyambut. Peluang hidup di dunia ini adalah satu ujian-Nya bagi menggapai kejayaan di akhirat kelak.

Kita perlu menggunakan peluang yang diberikan-Nya bagi meraih bekalan untuk ke akhirat, kita perlu berjaya di dunia bagi menggapai kecemerlangan di akhirat.

Firman Allah SWT: “Tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah padamu akan pahala dan kebahagiaan akhirat dan jangan engkau lupa bahagianmu, keperluan dan bekalanmu dari dunia dan berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik pada kamu dengan pemberian nikmat yang melimpah-limpah. Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Kasus, ayat 77)

Kajian mengenai kalimah

Cendekiawan Islam Mesir Dr Torik Asuaidi telah membuat kajian mengenai kalimah dalam al-Quran dan mendapati Allah SWT mengulangi perkataan ad-dunia sebanyak 115 kali dan kalimah al-akhirah juga sebanyak 115 kali, hidup (hayat) diulang sebanyak 145 kali dan kalimah mati (al-maut), 145 kali.

Persoalannya berapa ramaikah umat akhir zaman ini yang memanfaatkan usia diberi oleh Allah SWT pada jalan yang diredai-Nya?

Ada sebab tertentu mengapa Allah SWT mengurniakan usia tidak panjang kepada umat akhir zaman. Antara sebabnya supaya manusia memanfaatkan usia yang diberikan untuk beribadah kepada-Nya.

Firman-Nya: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat, ayat 56)

Umur yang singkat ini bertujuan supaya kita beribadah sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT kerana amalan soleh itu akan dinilai setelah seseorang meninggal dunia untuk bertemu dengan Maha Penciptanya.

Nilai malam lailatulqadar

Usia pendek yang diberikan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW bukanlah hal yang sia-sia. Sebaliknya, usia pendek ini telah digantikan dengan hadiah teristimewa yang tidak pernah diberikan pada umat sebelum Nabi Muhammad, iaitu malam lailatul qadar.

Disebutkan dalam al-Quran bahawa beribadah pada malam lailatulqadar sama nilainya dengan beribadah selama 1000 bulan.

Baginda SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun yang lebih baik kedudukannya di sisi Allah daripada seorang Mukmin yang dipanjangkan umurnya dalam Islam dengan banyak memuji-Nya, mengagungkan-Nya dan mentauhidkan-Nya.” (Riwayat Ahmad dan al-Bazzar)

Namun, apakah amalan ibadah yang paling agung dan hebat untuk umat Islam di akhir zaman ini? Rasulullah SAW sentiasa melakukannya setiap waktu dan amalan itu satu perintah dari Allah SWT kepada hamba-Nya supaya dilakukan dengan ikhlas dan tawaduk.

Firman-Nya: “Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Di antara sebaik-baik zikir ialah membaca ayat Kursi setiap kali selesai menunaikan solat seperti mana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas menunaikan solat, tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangnya memasuki syurga kecuali mati.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, jadilah seorang yang sentiasa mengingati Allah walau dalam apa juga keadaan. Berzikirlah kepada Allah di setiap kesempatan yang ada, tidak kira di mana dan dalam keadaan apa sekalipun kerana bila kita mengingati-Nya, sudah pasti Allah SWT akan mengingati hamba-Nya.

Firman-Nya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Penulis ialah Presiden Institut Al-Quran Malaysia