Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya lebih banyak muka baru diberi peluang menduduki Kabinet selepas PRU-13 ini.

Bekas Perdana Menteri berkata, langkah itu antara lain dapat menghasilkan idea baru selain membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Sumbangan positif

“Saya percaya rombakan Kabinet dengan membawa masuk muka baru akan secara positif menyumbang kepada kelangsungan BN (Barisan Nasional) dalam meneruskan mandat rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia (HLAF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Forum Pengetahuan HLAF, Profesor Asif Sabanovic.

HLAF adalah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang ditubuhkan bagi mengenal pasti dan membantu mempromosikan idea inovasi, pengetahuan dan teknologi dihasilkan individu ke peringkat dunia.

Pertubuhan itu turut menawarkan biasiswa, geran dan anugerah selain mewujudkan rangkaian kerjasama dengan organisasi pelbagai bidang supaya penemuan baru mahupun inovasi, pengetahuan serta teknologi mereka dapat dikomersialkan.
Ulas syor Daim

Dr Mahathir diminta mengulas cadangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, dalam temu bual akhbar sebelum ini supaya muka baru dilantik menganggotai Kabinet selepas PRU-13.

Mengenai kenyataan bekas anggota seumur hidup PAS, Zainon Ismail yang berhasrat bertemunya untuk memohon maaf kerana pernah merancang membunuh bekas perdana menteri itu pada 1988, Dr Mahathir berkata, beliau pada mulanya sangat terkejut dengan pengakuan itu.

Beliau berkata, pengakuan Zainon itu kerana terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi yang mendakwa UMNO kafir.

“Alhamdulilah dia sedar dan tidak lagi taksub dengan ideologi PAS ini dan buat kenyataan nak minta maaf, saya sedia maafkan sesiapa pun,” katanya.