Pertama kali tiada menang tanpa bertanding

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menampilkan 1,900 calon, mencatatkan sejarah sebagai pilihan raya paling ramai calon bertanding sejak PRU pertama pada 1959 dan antara pilihan raya paling sengit dalam sejarah politik negara.
PRU-13 juga mencatatkan sejarah calon bebas paling ramai, iaitu 190 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 78 kerusi Parlimen.

Ia juga pertama kali tiada calon menang tanpa bertanding, selain lebih 250 kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan pertandingan lebih daripada tiga penjuru.

Pada PRU 2008, lapan kerusi Parlimen dan empat DUN menyaksikan calon menang tanpa bertanding, 17 Parlimen dan 12 DUN pada 2004, masing-masing satu pada 1999 dan 11 Parlimen serta sembilan DUN pada 1995.

Rekod paling banyak calon menang tanpa bertanding ialah pada 1974 apabila masing-masing 47 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN dimenangi tanpa calonnya perlu berkempen.

Selain itu, 182 daripada 505 kerusi DUN menyaksikan pertandingan tiga hingga tujuh penjuru dan 90 daripada 222 kerusi Parlimen berlaku pertandingan lebih daripada tiga penjuru.
Namun, sebanyak 323 kerusi DUN menyaksikan pertandingan satu lawan satu dan 132 di kerusi Parlimen.

Ramai calon Bebas

Kemunculan ramai calon Bebas bertanding kali ini berpunca daripada rasa tidak puas hati ahli kerana tidak terpilih sebagai calon dan kecewa akibat tidak bersetuju dengan calon yang dipilih oleh kepemimpinan parti.

Ia menyebabkan berlaku beberapa kejutan apabila kebanyakan parti terpaksa bersaing dengan ahli belot yang bertanding sebagai calon Bebas, termasuk calon Barisan Nasional (BN).

Antara yang paling diperkatakan ialah tindakan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding di Parlimen Kuala Kangsar dan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shariff Omar di Parlimen Tasek Gelugor dan DUN Sungai Dua, di Pulau Pinang.

BN terpaksa bersaing dengan 25 calon Bebas yang daripada ahlinya sendiri, PKR tujuh calon, DAP lima calon dan PAS empat calon.

Selain itu, kegagalan PKR-PAS-DAP berkompromi untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN, menyebabkan pertindihan di tujuh kerusi antara PAS dan PKR.