Islam mengajar umatnya memandang tinggi jasa dan pengorbanan guru yang sangat besar baktinya dalam membangun serta mendidik generasi berpendidikan dan berakhlak mulia. Sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun bertujuan meraikan pendidik yang bertungkus-lumus mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak didik mereka.

Mereka lakukan demi melahirkan generasi berilmu pengetahuan dalam membina sebuah negara yang maju dan makmur. Sesungguhnya ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, Allah SWT mewajibkan kita menuntut ilmu.
Rasulullah SAW bersabda: Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap muslim. (Riwayat Ibn Majah)


Peranan guru

Guru memainkan peranan penting menyebarkan ilmu pengetahuan. Daripada hasil usaha merekalah, lahirnya bangsa yang berilmu dan berpengetahuan luas, tugas mereka tidak terbatas hanya mengajar di bilik darjah, malah mempunyai tanggungjawab dalam membentuk akhlak masyarakat.

Yakinlah tanpa ilmu pengetahuan, hidup manusia pasti dalam kegelapan kerana ilmu itu cahaya menerangi kehidupan. Bayangkanlah tanpa ilmu, kehidupan manusia tidak akan maju dan tanpanya juga manusia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan.

Paling penting, dengan ilmu sahajalah seseorang itu akan terselamat daripada tipu daya syaitan. Firman Allah SWT: Allah memberikan hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sungguh ia telah berikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya. (Surah al-Baqarah, ayat 269)
Tugas guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak didiknya, malah lebih penting ialah membina negara bangsa yang menitikberatkan semangat patriotik, jati diri dan perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.

Rasulullah SAW terkenal sebagai negarawan bersemangat patriotisme yang sentiasa menyeru umatnya cintakan negara. Rasulullah SAW sendiri sebagai pemimpin umat dan ketua negara telah memberi penekanan khusus dalam membimbing umatnya.

Baginda menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Inilah contoh pimpinan sebenar kerana bimbingan ini akan menentukan mereka menjadi manusia berguna, bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidupnya menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara kerana inilah jalan hidup dituntut Allah.

Sudah pasti dalam membina negara bangsa ia berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih kepada negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil jelas daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, ulama bersepakat mengatakan taat kepada pemerintah adalah fardu, manakala menderhaka satu dosa besar.

Cerminan masa depan negara

Justeru, semangat membina negara bangsa khususnya kepada pelajar adalah cerminan masa depan sesebuah negara. Jika mereka tidak dididik dan diasuh dengan betul, pastinya sesebuah negara itu akan menempah kehancuran.

Ingatlah bahawa amanah dan peranan guru bukan hanya sekadar mengajar, malah turun berperanan untuk melahirkan pelajar yang hebat inteleknya, mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang jitu. Itulah antara perkara yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.