Graduan   kena 5 tahun, sebat Pin Pin dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Graduan seni reka grafik, Wee Pin Pin, 27, dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan serta denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan samun.

Pin Pin dari Taman Seri Remah, Tanah Merah, didakwa bagi tuduhan pertama, menggunakan sepucuk pistol tiruan untuk menyamun salun di Jalan Besar Guchil, Kuala Krai milik Lim Tai Hua, 39, antara jam 2 dan 5.30 petang pada 27 November lalu.
Bagi tuduhan mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 itu, dia dikenakan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan.

Bagi tuduhan kedua, memiliki pisau pemotong daging pada tarikh, masa dan tempat sama, dia dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Pin Pin juga dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 bagi kesalahan memiliki pistol tiruan berwarna hitam bertulis Glock 16 Austria 9x19 di tempat, waktu dan tarikh sama.

Dia juga dikenakan hukuman penjara enam bulan atas tuduhan keempat iaitu cuba melakukan rompakan di kedai berkenaan.

Bagi pertuduhan kelima, Pin Pin dikenakan hukuman penjara enam bulan atas kesalahan mengurung secara salah Norshuhadah Mohd Razali, 21; Asma Rozali, 25; Nazirah Isa, 17, dan Lim Kem Tau@Lim Kim Tau, 65, di dalam kedai berkenaan pada tarikh dan masa sama.
Seksyen 342

Dakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam Nara Singh manakala pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari.

Terdahulu, Nara merayu kepada Hakim Ahmad Bazli Bahruddin supaya mahkamah mempertimbang hukuman minimum memandangkan itu kesalahan pertama tertuduh.