Permintaan domestik sokong pertumbuhan mapan ekonomi negara

Program Transformasi Ekonomi (ETP) menjadi penggerak penting kepada pertumbuhan mapan dan daya tahan ekonomi Malaysia untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga adalah Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala, berkata keadaan itu diyakini tercapai meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang masih tidak menentu.
Katanya, walaupun terdapat pelaburan berterusan kerajaan, namun pelaburan swasta telah meningkat dengan ketara sejak pelaksanaan ETP pada akhir 2010.

Katanya, pada 2012, pelaburan swasta terus mengatasi pelaburan awam dengan pelaburan swasta mewakili 58 peratus dan pelaburan awam pada 42 peratus.

Bahagian pelaburan swasta itu meningkat daripada 51.7 peratus pada 2009; 54 peratus pada 2010 dan 57 peratus pada 2011.

Idris berkata, dalam tempoh dua tahun sejak ETP dilancarkan pada akhir 2010, pelaburan swasta meningkat lebih tiga kali ganda.

“Kadar purata pertumbuhan pelaburan swasta berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 2000 hingga 2010 adalah 6.7 peratus saja, namun sejak ETP diperkenalkan ia meningkat pada kadar 12.2 peratus pada 2011 dan tahun lalu ia melonjak kepada 22 peratus,” katanya kepada BH dalam satu temubual di di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Di bawah ETP, pelaburan swasta disasarkan mencapai 92 peratus daripada jumlah pelaburan dalam negara sementara bakinya adalah pelaburan sektor awam.

Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2012 yang dikeluarkan Rabu lalu, berkata ekonomi negara tahun lalu berkembang melebihi jangkaan, iaitu pada kadar 5.6 peratus didorong peningkatan pelaburan swasta dan pertumbuhan perbelanjaan domestik, meskipun dalam kelembapan ekonomi global.

Idris berkata, pada 2012, pelaburan swasta adalah RM139.5 bilion, mengatasi sasaran RM127.9 bilion, didorong oleh perbelanjaan modal yang tinggi dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan perlombongan.

“Ia jelas menunjukkan keyakinan sektor swasta terhadap ekonomi negara. Jika tidak tentu mereka tidak melabur dengan sebegitu banyak. Ia baik kepada negara untuk terus berkembang.

“Kejayaan bagi PEMANDU adalah menyaksikan kerajaan dan perkhidmatan awam memenuhi sasaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan keputusan memberangsangkan sektor swasta menerusi ETP,” katanya.

Bagi tahun ini, Idris berkata, pelaburan swasta dijangka mampu mengatasi jumlah pelaburan yang dicatat pada tahun lalu.

“Jumlahnya (tahun ini) adalah lebih besar. Contohnya, seperti projek Transit Aliran Massa (MRT), pada tahun lalu pelaburan hanya bertumpu kepada kontrak kerja asas, namun kerja pembangunan utama adalah pada tahun ini dan seterusnya. Begitu juga dengan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, akan ada pelaburan besar dalam bidang minyak dan gas,” jelas beliau.

Keberkesanan program transformasi dalam menyokong pertumbuhan ekonomi turut diperakui oleh penganalisis ekonomi.

Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Ilias berkata, ETP, Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), semuanya didapati membantu meningkatkan kemantapan ekonomi negara dalam berdepan ketidaktentuan pasaran global.

“Ekonomi Malaysia berupaya berdepan ketidaktentuan ekonomi global dalam tempoh dua tahun lalu dengan pelaksanaan ETP, SRI dan GTP.

“Susulan itu kami menjangka ekonomi Malaysia untuk tempoh selanjutnya kekal disokong oleh permintaan domestik khususnya apabila projek dan pelaburan infrastruktur di bawah ETP bertambah rancak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng berkata, pencapaian ETP sejak ia dilaksanakan adalah 'amat memberangsangkan'.

“Tahun lalu, KDNK negara menongkah arus dengan mempamerkan peningkatan kukuh di sebalik trend menurun ekonomi global.

“Kami kagum dengan peningkatan tinggi pelaburan swasta pada tahun lalu, yang mana ia adalah faktor penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam tempoh sederhana,” katanya.