gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Jepp bersama Angah.

Foto

Zizan, Sharifah Shahirah dan Didie Alias bersama beberapa trofi ABPBH.

Nama hebat bersaing kategori tumpuan peminat, penyertaan dalam siri jelajah jadi bonus

Dalam 15 kategori Anugerah Bintang Popular BH 2012 (ABPBH 2012), kategori Artis Komedi Lelaki dan Wanita Popular menampakkan saingan sengit.

Tambah mendebarkan, setiap calon Top 5 memiliki pengikut tegar yang memberi sokongan kuat. Ini termasuk penubuhan kelab peminat yang melayangkan pengaruh mereka melalui undian.
Berbanding kategori lain, calon Top 5 dalam kategori ini paling dinantikan peminat. Ini menunjukkan sambutan hebat terhadap produk dibintangi mereka seperti filem, drama komedi dan projek pementasan yang meletakkan mereka di ‘kerusi panas’ kategori ini. Lihat saja penguasaan Zizan Razak dan Nabil yang menjadi rebutan banyak jenama terkenal yang mahu menyambar mereka sebagai duta produk sebaik mengungguli gelaran Artis Komedi Lelaki Popular.



Umpan ke pawagam

Tidak cukup dengan itu, syarikat produksi berlumba-lumba meletakkan mereka sebagai ‘umpan’ mengajak peminat ke pawagam. Ini tidak termasuk tawaran besar lain yang diterima si juara.

Cuma, nampaknya pengaruh Zizan yang pernah merasa ‘kehangatan’ trofi itu pada edisi ABPBH 2010 dikatakan lebih kuat apabila dipilih bertanding dalam dua lagi kategori iaitu Pelakon Filem Lelaki dan Pengacara Lelaki.
Namun, teman seperjuangan yang sering berkongsi pentas dengannya, Johan yang merampas trofi itu daripada Zizan edisi lalu tidak boleh dipertikaikan kerana prestasi kerja pelawak ini. Siapa tahu, Johan mampu menggenggam anugerah sama kali ini.

Melihat repertoire Johan yang diakui popularitinya sebagai penyampai radio hingga turut mara dalam kategori itu kali ini, pasti ramai tidak akan mempertikaikan andai Johan mampu mempertahankan trofi Artis Komedi Lelaki Popular.

Biar apapun, tabik kepada dua lagi muka baru dalam kategori ini, Angah dan Jepp yang mampu menempah tempat ke pentas akhir serta membuktikan mereka bukan calang-calang bakat.

Rajin turun padang beri kelebihan

Siapa tahu, berkat kesungguhan Angah yang rajin turun padang bertemu penyokong setia mampu memikat perhatian pengundi baru. Ini kerana ada di kalangan calon Top 5 tidak menyertai siri jelajah dan meluangkan masa bertemu peminat atas alasan sibuk.

Selama ini, Angah mungkin hanya melihat rakan lain duduk di kerusi selesa serta memberi sokongan setiap kali majlis berprestij ini berlangsung. Sekarang, berkat kesungguhan serta undian dan doa peminat, Angah mampu duduk sebaris nama besar lain.

Manakala Jepp pula masih tidak boleh dipertikaikan popularitinya kerana selain semakin ‘lebat’ menerima tawaran, episod kisah cinta bersama teman artis serta pertelagahan dengan blogger membuatkan nama Jepp diperkatakan.

Justeru, bagi sesetengah individu yang mendakwa dirinya anak seni, cubalah berfikiran terbuka dan mengaku hakikat bahawa gosip - negatif atau positif masih membawa impak andai bijak ditangani.

Mampukah Noorkhiriah pertahan trofi?

Beralih pula kepada kategori Artis Komedi Wanita, sapa tidak kenal prestasi Didie Alias yang pernah dipertanggungjawabkan menjadi hos bersama ABPBH berganding dengan Sharifah Shahirah dan Raja Azura.

Tidak mengenal putus asa, merendah diri dan menghargai peminat antara kunci yang membolehkan ibu kepada lima anak ini mengambil alih dominasi Noorkhiriah pada edisi 2011. Sebelum ini, Noorkhiriah menyandang trofi kategori ini bagi tiga tahun berturut-turut sejak ABPBH 2008.

Walaupun rancak dengan tawaran drama dan telefilem selain menjadi kegemaran penganjur acara sebagai hos majlis, Didie tetap meluangkan masa mengikuti siri promosi jelajah ABPBH ke empat-empat lokasi tahun ini.

Sudah rezeki, Enot yang sebelum ini pernah duduk di kerusi finalis namun belum berpeluang membawa pulang trofi, turut dicalonkan semula tahun ini sekali gus memberi petanda kebangkitannya.

Seorang lain calon, Sharifah Shahira nyata masih berbisa apabila turut bertanding. Namun, keupayaan muka baru, Jihan pula tidak boleh dipertikaikan. Ini menampakkan kelebihan si kecil molek ini memancing hati peminat.


ARTIS KOMEDI LELAKI POPULAR

Angah
Jepp
Johan
Nabil
Zizan Razak

ARTIS KOMEDI WANITA POPULAR

Aliza Abdullah @ Enot
Didie Alias
Jihan Raja Lawak
Noorkhiriah
Sharifah Shahira