gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Baim Wong

Foto

BAIM senang dikelilingi ramai peminat wanita.

Baim Wong sering kecundang dalam cinta akibat kesibukan kerja

WALAUPUN agak asing, namun bagi penggemar drama bersiri dari Indonesia, nama Baim Wong sememangnya cukup dekat di hati mereka.
Jika tidak, masakan jumlah pengikut setianya dari Malaysia di laman Facebook sudah pun mencecah 390,000 orang. Tentunya ia bukan angka yang senang hendak dicapai.


Pelakon dari seberang yang kelihatan agak pemalu ketika diwawancara ini mula dikenali peminat negara ini apabila drama popularnya, Benci Bilang Cinta dan Bukan Diriku ditayangkan di saluran Astro Ria.

Selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat menerusi penampilannya dalam dua judul berkenaan, Baim kembali ke negara ini untuk mempromosikan drama ketiganya, Kejora dan Bintang, di samping mendekatkan diri dengan pengikut setianya.

Baim, 29, pemuda tinggi lampai berkulit cerah dan memiliki darah kacukan Indonesia-Cina ini ketika hadir pada majlis tayangan perdana drama lakonannya itu bagaimanapun tidak pernah lokek dengan senyuman di bibir.

“Saya pernah datang ke Malaysia sebelum ini dan kali ini saya ke sini lagi kerana ingin bercuti bersama famili. Saya juga kaget dengan sambutan peminat di sini dan bersyukur kerana ramai yang datang menjayakan tayangan sinetron lakonan saya.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana begitu ramai peminat, terutama peminat wanita, berada di sini dan ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bertemu dengan saya.

“Wanita di sini berlainan sekali jika dibandingkan dengan peminat di Indonesia. Di sini, peminat wanita lebih sopan dengan hanya bersalaman bersama saya. Di Indonesia, ada yang sampai mencubit pipi saya,” kata Baim yang kini masih lagi bersendirian.

Pengakuan bahawa dirinya masih solo tentu sekali menggembirakan hati peminat wanita aktor berkenaan. Baim yang baru putus hubungan bersama bekas teman wanitanya, Yaslin Wang, mengaku dia kini mencari pasangan idamannya iaitu seorang wanita yang soleh dan baik hati.

Jejaka sopan ini juga pernah menjalinkan hubungan selama dua tahun bersama Andriani Marshanda, pelakon wanita popular yang pernah membintangi drama Putri Yang Terbuang, Soleha, Hikmah 2, Aqso dan Madina, malah pernah digandingkan bersamanya dalam drama Benci Bilang Cinta.

Populariti dan kesibukan bekerja memang mempunyai kesannya sendiri. Baim tidak terkecuali apabila kesemua hubungan cintanya tidak kesampaian dek aktiviti penggambarannya yang padat, serta kerjanya yang tidak mengikut waktu biasa.

Selain sibuk dengan dunia lakonan, Baim rupa-rupanya turut kencang dengan perniagaan restoran di Indonesia. Selain memiliki 0h La La Food and Beverages, dia bakal membuka sebuah lagi cawangan iaitu Bakmilicious di Jakarta.

Baim yang baru berjinak-jinak dalam bidang berkenaan berkata, dia amat meminati dunia perniagaan dan sekiranya suatu hari nanti dia tidak lagi diundang berlakon, pastinya dia akan meneruskan cita-citanya untuk lebih berjaya dalam bidang terbabit.

Mengimbas kembali kemunculannya, Baim mula menceburi dunia lakonan sejak 2001. Begitupun, dia berehat selama dua tahun, iaitu dari 2003 hingga 2005, atas alasan untuk menjalani latihan lakonan.

Pada tahun 2005, Baim kembali beraksi di depan kamera dan menjadi tunggak utama dalam drama bersiri popular yang turut mendapat sambutan di negara ini iaitu Benci Bilang Cinta, yang juga ditayangkan di saluran Astro Ria.

Drama lakonannya itu turut mendapat sambutan menggalakkan di negara kelahirannya, malah menggondol banyak anugerah kerana impak ceritanya.

Kini, peminat boleh menyaksikan lakonan Baim dalam drama Kejora dan Bintang yang bakal menemui penonton pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang, bermula 25 Januari di saluran Astro Ria.

Baim ialah antara teraju utama drama 72 episod ini yang juga diperkuatkan oleh Alyssa Soebandono, Rachel Amandam Lucky Perdana, Mathias Muchus, Cut Keke, Eva Anindhita dan Mieke Wijaya.

Baim memainkan watak Erlangga, iaitu cucu kepada Nenek Gautama lakonan Mieke Wijaya yang kaya raya. Dia mempunyai wajah yang tampan tetapi berperangai keanak-anakan, sombong serta keras kepala.