BUKIT MERTAJAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berteka-teki sama ada mahu mempertahankan kerusi Permatang Pauh atau sebaliknya, namun petang ini membayangkan untuk mencuba nasib di Parlimen Tambun, Perak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, keputusan mengenainya masih belum dibuat dan akan menghubungi beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang untuk meminta pandangan sebelum membuat pengumuman malam ini.
"Saya ada kira- kira tiga jam lagi untuk buat pertimbangan sebelum buat keputusan (bertanding di mana), tapi kalau pergi ke sana (Tambun) pun bukan bermakna saya memperkecilkan sokongan, kasih sayang dan kemesraan yang diberikan selama ini, tetapi nak lonjakkan sokongan di Perak.


"Saya lihat sokongan di sana (Perak) meningkat selepas kami menang di tiga Parlimen iaitu Parit Buntar, Bagan Serai dan Gopeng dan saya mahu kukuhkan lagi kedudukan pakatan pembangkang dengan menang sekurang-kurangnya lima kerusi parlimen," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 300 penyokongnya di Kubang Semang, sebentar tadi.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau sudah pun menyenarai pendek beberapa calon yang mungkin akan menggantikannya sekiranya tidak bertanding di Permatang Pauh.

"Sekiranya saya kekal di sini (Permatang Pauh), saya akan mencadangkan supaya Ketua Srikandi Keadilan Malaysia, Siti Aisyah Shaik Ismail untuk bertanding di Tambun," katanya.