Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan, Lee Chong Wei hanya dijangka memperkuatkan cabaran skuad badminton negara pada kempen Piala Axiata 2013 sekiranya layak ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung 13 April depan.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, adalah mustahil untuk pemain nombor satu dunia itu beraksi bersama skuad negara pada pusingan kedua Piala Axiata di Stadium Badminton Cheras, Jumaat ini kerana dia mengalami masalah kesihatan sejak 10 hari lalu.
“Bukan saja Piala Axiata, tetapi penyertaannya di (Grand Prix Emas) Terbuka Australia (2 hingga 7 April) juga masih belum pasti kerana masalah kesihatan sejak pulang dari Seluruh England. Fokusnya kini adalah mengembalikan semula tahap kecergasannya.


“Jika dia beraksi dalam saingan Piala Axiata sekalipun, mungkin pada separuh akhir,” kata Seu Bock ketika dihubungi semalam.

Bincang dengan Rashid

Menurut Seu Bock, walaupun Chong Wei sebelum ini sudah membuat keputusan untuk tidak beraksi pada Piala Axiata bagi memberi laluan kepada dua pemain perseorangan muda, Liew Daren dan Chong Wei Feng, namun pada saat-saat akhir dia meminta namanya turut disenaraikan dalam skuad.

“Ini kerana, semangatnya untuk membantu skuad negara cukup tinggi. Jadi, saya tidak ada masalah sekiranya dia mahu beraksi.
“Apa pun, saya akan mengadakan perbincangan dengan dia dan Rashid Sidek (ketua jurulatih perseorangan) mengenai hal ini sebelum membuat keputusan,” kata Seu Bock.

Selepas mengharungi empat perlawanan pusingan awal di Surabaya yang berakhir Ahad lalu, skuad negara berada di kedudukan ketiga dengan 11 mata hasil dua kemenangan dan dua seri.

Khidmat Chong Wei ditagih skuad negara selepas menyaksikan Daren dan Wei Feng gagal mencetuskan impak positif di Surabaya dalam misi membantu pasukan menjuarai kejohanan bernilai AS$1 juta (RM3 juta) itu.