Hip

'Agama terbaik'




Keputusan Marcell memeluk Islam akhiri polemik perkahwinan berbeza agama dengan pelakon Singapura, Rima Melati

Seakan akur kerinduan peminat yang sekian lama dahaga berita terbaru mengenai dirinya, Marcell begitu terbuka untuk berkongsi apa saja pada pertemuan yang diatur sempena Anugerah Bella 2013 siaran ntv7, Sabtu lalu.

Berganti topik mengenai kecederaan tulang belakang yang pernah hampir membuatnya lumpuh, serta keikhlasannya memeluk Islam selepas mencetuskan polemik apabila berkahwin ketika berbeza agama, Marcell tidak menepis setiap soalan yang diajukan.

Bagi pemilik nama lengkap, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, kemahuannya menganut Islam bukan untuk dibanggakan kerana pencarian menemui agama suci itu adalah sebahagian persediaannya menuju jalan abadi iaitu akhirat.

“Saya seorang gemar mengetahui dan mencungkil rahsia spiritual, membuatkan saya mendalami banyak agama. Jujurnya saya sudah lama tertarik untuk memeluk Islam, cuma belum saatnya hingga setahun lalu saya akhirnya yakin dengan pegangan yang dipilih.

“Saya mendapat rezeki bertemu penari Darwish, lalu diperkenalkan kepada tokoh sufi terkemuka asal Lubnan, Maulana Syekh Muhammad Hisyam Kabbani.

“Tidak dinafikan isteri saya, Rima Melati Adams banyak mempengaruhi saya untuk menjalani hidup dengan lebih baik.

“Kami dipertemukan dalam situasi yang berbeza namun cuba bertahan dengan menghormati pegangan agama masing-masing ketika mengambil keputusan berkahwin pada 28 Januari 2009 di Singapura.

Isteri tidak memaksa

“Rima sentiasa percaya, perbezaan yang kami jalani itu sebagai satu proses dan tidak pernah memaksa saya mengubah keyakinan hingga akhirnya saya yakin Islam agama terbaik untuk dianuti,” katanya.

Marcell berkata, isterinya yang pernah popular menerusi drama Dendam adalah insan paling bahagia apabila dia memilih Islam kerana bebanan terutama penilaian masyarakat terhadap mereka sebahagiannya seperti dibawa pergi.

“Isu keyakinan terhadap agama adalah sesuatu yang tidak boleh dibohongi, bukan hanya pada hubungan kami berdua tetapi juga kepada masyarakat luar yang cuma menghukum tanpa pernah tahu apa yang kami lalui.

Ada yang beranggapan saya menukar ganti agama kerana perempuan, tetapi mengapa mereka tidak pernah cuba melihat saya sebagai manusia yang sentiasa mencari apa terbaik untuk diri ini.

“Saya tidak takut untuk terus mencari dan tak akan pernah berhenti mencari apa yang terbaik dalam hidup ini. Mungkin ada yang berasakan diri mereka hebat kerana dilahirkan sebagai Islam.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/