Seremban: Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan berakhir 27 Mac ini, genap lima tahun tarikh persidangan pertamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) 2008.

Walaupun kapasiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbatal selepas pembubaran DUN, jawatan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kekal hingga kerajaan negeri baru dibentuk selepas PRU-13.
Mengulas perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau sudah memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memaklumkan tiada keperluan untuk membubarkan DUN ketika ini.

Kerajaan sementara

Jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh DUN kita terbubar sendiri, kerajaan negeri akan meneruskan tugas sebagai kerajaan sementara selepas tarikh itu, katanya selepas majlis perjumpaan bersama pegawai kerajaan negeri, di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Tabung Wira Lahad Datu Negeri Sembilan yang akan diedarkan di semua pejabat jabatan dan agensi kerajaan negeri selain masjid bagi membolehkan pegawai, kakitangan serta orang ramai menderma kepada wira yang terkorban ketika menentang kumpulan pengganas di Sabah.