i-TR1M bantu 20,000 pelajar

i-TR1M bantu 20,000 pelajar

Oleh Haspaizi Mohd Zain
2013/03/13

Kuala Lumpur: Lebih 20,000 pelajar kurang berkemampuan mendapat manfaat daripada program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M), yang digerakkan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Hasil memberangsangkan daripada program perintis yang dilaksanakan di Selangor dan Perak itu mendorong YGMB untuk memperluaskan inisiatif berkenaan ke seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh lima tahun ini.

Pendidikan percuma

Program i-TR1M adalah tuisyen percuma kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang mendapat sokongan penuh kerajaan bagi tujuan pembiayaan.
Ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu untuk membolehkan pelajar kurang berkemampuan menikmati pendidikan terbaik secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Mejar (B) Wan Munadi Wan Mamat, berkata pihaknya berhasrat memperluaskan program terbabit ke Pahang, Negeri Sembilan dan Kedah dalam tahun ini.

“Setakat ini pelajar di Selangor dan Perak sudah menikmati kemudahan tuisyen berkenaan. Di Perak, pelancarannya disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program terbabit, yang menyasarkan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Program ini amat berguna dan kita mendapat maklum balas positif daripada pelajar, yang mengikuti tuisyen ini,” katanya sambil menambah pemilihan sekolah untuk menyertai program terbabit dilakukan Jabatan Pelajaran.

Guna teknologi terkini

Wan Munadi berkata, tuisyen interaktif melalui teknologi terkini itu menampilkan sistem pembelajaran yang menyeronokkan menerusi modul pembelajaran sistem penilaian berasaskan sekolah yang akan diperkenal bagi menggantikan UPSR.

“Tuisyen ini adalah sistem pembelajaran secara atas talian. Selain memberi ilmu kepada pelajar, ia juga mendedahkan mereka kepada teknologi maklumat supaya dapat menimba ilmu secara berkesan dan menyeronokkan,” katanya.