Kuala Lumpur: Tarikh perlawanan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona bertemu skuad Harimau Malaya, 10 Ogos depan mungkin terpaksa diubah selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpendapat tarikh yang jatuh pada 3 Syawal itu tidak bersesuaian dengan umat Islam sibuk menyambut Aidilfitri ketika itu.

Malah, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya belum dapat membuat pengesahan mengenai perlawanan berkenaan dan juga tarikhnya memandangkan wakil syarikat yang menguruskan perlawanan itu baru saja menemuinya, pagi semalam.
Sebenarnya, apabila berita kehadiran Barcelona ini digembar-gemburkan akhbar tempatan minggu lalu, FAM memang tak dimaklumkan langsung mengenai perlawanan ini.

Pengesahan wakil syarikat

Cuma jam 9 pagi tadi (semalam) wakil syarikat yang mendakwa mempunyai kontrak dengan Barcelona datang berjumpa saya bagi membincangkan perlawanan ini. Walaupun sudah bertemu, FAM perlu juga buat pengesahan yang wakil syarikat itu benar-benar sahih dan kita perlu lihat dokumentasi kontrak mereka dengan Barcelona.

Tarikh yang mereka minta memang 10 Ogos tetapi FAM ada beberapa pandangan termasuk ia hari ketiga umat Islam menyambut Aidilfitri. Jadi kita beri cadangan balas untuk perlawanan diawalkan ke beberapa tarikh lain sepanjang Ramadan, kata Azzuddin selepas sidang media pengumuman kunjungan Chelsea ke ibu negara pada 21 Julai depan di sebuah hotel di Subang, pagi semalam.

Barcelona menerusi laman web rasminya, Isnin lalu menyatakan siri jelajah pra-musim Asia mereka bakal bermula dengan perlawanan di Shanghai, China pada 4 Ogos disusuli di Bangkok, Thailand pada 7 Ogos dan berakhir di Kuala Lumpur pada 10 Ogos.