Batu Pahat: Sekolah yang terbabit dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah dibenarkan untuk terus ditutup sekiranya warga sekolah dan ibu bapa masih bimbang dengan situasi di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah itu bagi meredakan tekanan dan kebimbangan yang dihadapi pelajar, guru serta ibu bapa. "Semua 49 sekolah di Semporna dan lapan di Lahad Datu sepatutnya dibuka semula mulai esok (Isnin) tetapi pihak sekolah dibenarkan untuk menutupnya sehingga keadaan reda jika masih wujud kebimbangan di kalangan ibu bapa dan guru.


"Pihak sekolah perlu berbincang dan memaklumkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) jika merasakan sekolah masing-masing masih perlu ditutup tetapi ia perlu diganti," katanya selepas merasmikan program khidmat komuniti MyBAKTI di Kolej Komuniti Batu Pahat, di sini, semalam.