KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka proses penamaan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan selesai menjelang jam 10.30 pagi susulan pemansuhan proses pamer dan bantah.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tanpa proses itu, tugas memastikan calon yang mahu bertanding bersih dan layak terletak pada pegawai pengurus pilihan raya.
"Dengan pemansuhan ini, kita jangka penerimaan kertas pencalonan amat awal, sekitar jam 9 hingga 10 pagi berbanding sehingga tengah hari pada PRU (pilihan raya umum) sebelum ini.


"Oleh itu, nama-nama calon ini dijangka diisytharkan menjelang 10.30 pagi dan tempoh bertugas SPR menjadi singkat, namun harus diingatkan tanggungjawab kita akan meningkat sebab semua kuasa terletak kepada pegawai pengurus," katanya ketika berucap pada taklimat pilihan raya umum ke-13 bagi pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus negeri Terengganu, di sini hari ini.

Beliau juga menjangka SPR berdepan cabaran yang lebih hebat pada pilihan raya umum akan datang susulan beberapa peraturan baharu yang dikuat kuasa kali ini. - BERNAMA