KUALA TERENGGANU: Keropok Lekor Terengganu yang dihasilkan sebuah syarikat milik Bumiputera, Keropok House Dungun Gallery Interprise (KHDGI), bakal dieksport ke China dan Arab Saudi.

Pengurus KHDGI Zakiah Othman, 56, berkata pihaknya diminta oleh pengedar untuk menghantar dua kontena, iaitu kira-kira 20 tan metrik keropok lekor sebulan ke kedua-dua negara itu.
"Sekarang ini, kalau mahu mengeksport keropok ke luar negara, perlu ada Sijil Halal. Memang melegakan apabila permohonan sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang dipohon tiga bulan lalu, sudah diperolehi" katanya kepada Bernama di sini.


KHDGI juga mengeluarkan bebola ikan, nuget, sos pencecah keropok dan beberapa jenis barangan lain selain keropok lekor dan keropok kering.

Melalui bantuan RM187,000 dari SME Corporation, beliau berkata, KHDGI membeli peralatan moden untuk membuat keropok di Kampung Kuala Abang.

Bengkel berkeluasan 50x100 kaki persegi itu adalah bekas bengkel ikan salai yang dibina pada 1974 sebelum dijadikan bengkel membuat keropok sekarang ini.

Sebelum mengusaha keropok, Zakiah berkata beliau mengusahakan ikan salai untuk dieksport ke Jepun bersama suaminya, Mohd Nor Abdullah, 66, yang berasal dari negara Matahari Terbit itu.
Bagaimana pun, perusahaan yang dijalankan sejak 1982 itu tidak berpanjangan dan terpaksa ditutup kerana kekurangan bekalan ikan tongkol.

"Saya mengusahakan sebanyak 10 tan metrik sehari ikan salai pada masa itu," katanya.

Zakiah berkata, beliau pernah menjadi vendor peralatan eletrik sebelum menceburi bidang keropok selepas mendapat nasihat dari Jabatan Perikanan Terengganu.

Kekuatan KHDGI sekarang bergantung kepada dua pengedar utamanya untuk mengedar keropok dan lain-lain ke luar Terengganu, iaitu Bidadari KLF (Keropok Lekor Frozen) dan Zuyyin Interprise.

Beliau berkata, seramai lapan orang ibu tunggal bekerja dan membantunya dalam perusahaan itu. - BERNAMA