Isu kalimah Allah: Nik Aziz tegur Karpal
Menteri Besar Kelantan ingatkan Pengerusi DAP jangan campur urusan PAS

Kota Bharu: Pengerusi DAP, Karpal Singh, diingatkan supaya tidak campur tangan urusan dalaman dan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan PAS.

Amaran itu diberikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam, berikutan bantahan Karpal berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang diputuskan oleh Majlis Syura PAS, baru-baru ini.

Tak perlu 'jadi pandai'


Menteri Besar Kelantan itu berkata, DAP tidak perlu ‘jadi pandai’ kerana ahli PAS sahaja yang tahu keadaan sebenar, bukan parti lain.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PAS tetap dengan pendirian tidak menarik balik keputusan Majlis Syura walaupun diasak oleh DAP.

“Keputusan itu tiada kaitan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana beliau bukannya orang PAS. Keputusan mengenai isu itu dibuat Majlis Syura PAS dan kami tetap dengan keputusan itu. Dalam isu ini, tiada sesiapa yang tahu mengenai PAS melainkan ahli parti itu sendiri.

“Begitu juga dengan DAP, hanya ahlinya saja yang tahu mengenainya (organisasi dan pentadbiran mereka),” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Pulau Melaka, di sini semalam.

Kenyataan Karpal

Nik Aziz diminta mengulas kenyataan Karpal bahawa kepemimpinan tertinggi DAP tidak pernah bersetuju menerima keputusan Majlis Syura PAS berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Dalam kenyataannya kelmarin, Karpal mendesak PAS menghormati keputusan Mesyuarat Majlis Presiden gabungan pembangkang bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam kerana kepemimpinan tertinggi DAP tidak pernah bersetuju menerima keputusan Majlis Syura PAS.

Sambil menyifatkan ia sebagai mustahil, Karpal terus mendesak PAS menghormati keputusan Mesyuarat Majlis Presiden gabungan pembangkang bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Karpal juga menafikan Nik Aziz ada membuat penjelasan mengenai isu itu dalam pertemuan ringkas di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Perbalahan PAS-DAP berhubung isu itu timbul selepas Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dilaporkan berkata, PAS tetap dengan pendirian tidak menarik balik keputusan Majlis Syura.

Hadi baru-baru ini berkata, keputusan Majlis Syura sudah diterima baik oleh Karpal selepas mendapat penjelasan daripada Nik Aziz dalam pertemuan mereka sebelum ini.