ALOR SETAR: Isteri bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, Puan Sri Azizah Abdul Hamid, meninggal dunia akibat barah hati di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini kira-kira jam 9 malam tadi.

Allahyarhamah Azizah berusia 65 tahun.
Osman berkata isterinya dimasukkan ke HSB dua bulan lepas selepas mengadu buang air besar berdarah dan doktor mengesahkan arwah mengalami masalah usus dan perlu menjalani pembedahan segera.

"Semasa menerima rawatan di HSB, doktor telah mengesahkan isteri saya dijangkiti barah hati peringkat empat dan rawatan boleh dilakukan selepas luka di tempat pembedahan sembuh," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Osman berkata Allahyarhamah turut menghidap penyakit kencing manis.

"Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Sultanah kira-kira 1.30 petang ini dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kelubi, Jitra selepas Zohor," katanya.
Allahyarhamah meninggalkan empat orang anak iaitu Jeffril, Rizal, Ileana dan Adzmin.
Osman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang keenam pada 28 Januari 1985, menggantikan Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabuddin yang meletak jawatan Menteri Besar Kedah pada 24 Januari 1985. - Bernama