Eksport komoditi 1.332 juta tan

HARGA minyak sawit mentah (MSM) dijangka melepasi paras RM3,000 satu tan dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini meskipun harga komoditi semakin jatuh berikutan kelembapan ekonomi dunia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, berkata permintaan tidak akan merosot dan harga MSM bergerak seiringan dengan harga minyak mentah.

“Penggunaan MSM sebagai sumber tenaga alternatif dan produk makanan akan menyokong harga,” katanya ketika melancarkan Koperasi Penanam Kelapa Sawit Mampan Kuala Selangor, semalam. Harga semasa MSM berlegar sekitar RM3,300 satu tan.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit pada April tahun ini meningkat 1.332 juta tan daripada 1.235 juta pada Mac.

Dompok berkata, penyertaan pekebun kecil dalam koperasi tempatan yang melaksanakan amalan perladangan terbaik, penting bagi pensijilan pengeluaran MSM mampan.

Beliau berkata, usaha ini menyumbang kepada komitmen Malaysia terhadap pembangunan minyak sawit mampan kerana permintaan pelanggan semakin meningkat.
“Pembabitan semua pihak dalam memastikan pengeluaran minyak sawit mampan akan menjamin harga MSM yang lebih tinggi dan peluang pasaran yang lebih luas,” katanya.

Koperasi Penanam Sawit Mampan Kuala Selangor adalah koperasi pekebun kecil keenam yang ditubuhkan di negara ini berasaskan pengeluaran minyak sawit mampan.

Koperasi lain adalah di Tongod dan Kunak, Sabah; di Saratok, Sarawak; Jasin, Melaka dan Kluang di Johor.

Koperasi itu adalah inisiatif MPOB dan lanjutan Kelompok Kelapa Sawit Mampan (SPOC).