Biar saya saja tahu
Enggan tinggalkan dunia lakon

GADIS kecil-molek ini memang petah berkata-kata. Pada usia 17 tahun dan baru saja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu, sifat remajanya jelas terserlah.
Seorang yang riang dan senang bergaul membuatkan sesi fotografi yang diadakan di Studio Hip baru-baru ini berjalan dengan lancar, dan mengambil masa yang singkat saja. Ditemani ibunya, Filzah Yusoff, pelakon muda ini cukup gembira kerana kini dirinya berjaya menamatkan sesi persekolahan dan peperiksaan tanpa apa-apa masalah.


Itulah Elfira Loy atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, yang kini kembali sibuk dengan penggambaran drama TV setelah beberapa bulan menumpukan perhatian dan sepenuh masanya menghadapi SPM.

Ternyata rezekinya di dalam dunia lakonan terbuka luas apabila tidak sempat untuk merehatkan diri buat seketika, dia sudah ditawarkan untuk mengikuti latihan penggambaran bagi drama yang akan ke udara tahun depan.

Berteka-teki mengenai tajuk drama lakonannya itu, Elfira menyatakan kini dia mula sibuk dengan aktiviti penggambaran sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun depan, yang belum diketahui tarikh dan tempatnya.

Tidak merungut, malah dia gembira dengan peluang yang ditawarkan. Elfira juga tidak pernah mengetepikan soal pendidikan dan akademik walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon.
Namun dirinya sedikit tersentak apabila ada yang menegur, seolah-olah dia tidak mahu berjaya dalam hidup semata-mata kerana tidak mempunyai cita-cita khusus. Mengulas mengenai artikel siaran akhbar sisipan B*Pop Ahad lalu itu, Elfira menjelaskan dirinya bukanlah tidak mempunyai hala tuju dalam kehidupan tetapi buat masa ini dia belum membuat keputusan mengenai jalan yang mahu dipilihnya.

“Saya tidak kisah dengan teguran itu sebenarnya. Tapi mahu dijelaskan di sini, walaupun saya tidak mempunyai cita-cita, saya mempunyai sasaran dalam hidup dan biarlah sasaran itu hanya diri saya saja yang tahu. Saya seseorang yang tidak suka bercerita mengenai cita-cita kerana saya takut saya tidak akan dapat capai seperti yang diharapkan. Jadi untuk mengelak daripada kecewa, biarlah saya seorang diri yang mengetahui sasaran hidup saya.

“Seperti yang saya katakan, kini saya ada dua haluan dan ia bergantung kepada keputusan SPM yang akan keluar awal tahun depan. Jika keputusannya baik saya akan menggunakan peluang itu ke jalan yang terbaik dengan menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya dan jika sebaliknya, saya tetap akan mencuba yang terbaik.

“Semestinya saya mahu berjaya dalam apa saja bidang yang saya ceburi dan seperti yang saya lakukan sekarang, saya benar-benar minat dengan dunia lakonan dengan memberikan komitmen yang sebaiknya.

“Kalau boleh sememangnya saya tidak mahu terus kekal sebagai pelakon kerana saya mahu melakukan sesuatu yang berlainan pada masa depan, tapi dunia seni ini tidak akan saya tinggalkan kerana minat saya di sini.

“Seperti orang lain yang mempunyai hobi memancing, hobi saya pula adalah berlakon, dan walaupun sibuk dengan pelajaran saya akan tetap terus berlakon. Jika diimbas kembali, pembabitan saya dalam dunia lakonan bukanlah disebabkan mahu mengejar populariti tapi ia berlandaskan minat,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 ini.

Jelajah ABPBH paling seronok

TEGAS Elfira, dia tidak mahu dijadikan rujukan yang tidak elok buat remaja di luar sana, apatah lagi memperlihatkan reputasi yang kurang baik sebagai pelakon. Di sebalik itu, dirinya tetap bersyukur kerana mendapat sokongan yang positif daripada teman sekeliling dan anggota keluarga yang memahami.

Di samping itu, gadis genit ini tidak menggalakkan remaja di luar sana untuk berlakon kerana dia sendiri berpendapat ia serba-sedikit akan mengganggu pelajaran. Namun semuanya bergantung pada diri sendiri. Jika seseorang itu pandai menguruskan masa, pasti ia tidak menjadi masalah.

Pada masa sama, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2011 ini turut berkongsi perasaannya apabila dicalonkan di dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011.

Pencalonan kali kedua ini tidak dinafikan menerbitkan rasa gembira dan terkejut pada masa yang sama. Sebelum ini dirinya dicalonkan sebagai Artis Baru Wanita dan berbeza kali ini dia diletakkan sekumpulan dengan barisan pelakon senior.

“Dulu disenaraikan di kalangan artis baru, saya rasa sesuai. Tapi tahun ini dicalonkan di dalam kategori lebih dewasa, membuatkan saya rasa kurang yakin. Semua pelakon yang tersenarai ialah nama yang kuat dan orang lama di dalam industri.

“Saya masih remaja dan baru dalam industri ini, dan dicalonkan di kalangan artis wanita sememangnya di luar jangkaan kerana saya sendiri tidak berasakan diri saya sudah wanita. Jika ditakdirkan nama saya dicalonkan di kalangan lima teratas, memang saya terkejut sangat.

“Apa-apa pun, yang membuatkan saya teruja jika dicalonkan ke akhir nanti ialah kerana saya ingin mengikuti siri jelajah. Seperti tahun lalu, jelajah ABPBH ialah jelajah yang paling seronok pernah saya ikuti. Selain dapat berjumpa dengan ramai peminat, saya juga dapat menghabiskan masa dengan artis lain,” katanya sambil menceritakan detik manisnya ketika menyertai jelajah ABPBH2010 ke Johor.

Mengimbas kenangan ketika menyertai siri promosi itu, Elfira pernah disimbah air di atas pentas dan dia juga menghangatkan lagi pentas apabila tampil dengan tarian bersama lima penari kecil dari Sekolah Puncak Alam bergelar Leeleesm, menarikan lagu Superjunior. Kenangan manis itu sukar untuk dilupakan dan mengharapkan dirinya berpeluang untuk menikmatinya lagi.

PROFIL

NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
UMUR: 17 tahun
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DARAH CAMPURAN: Melayu, Cina dan Arab
KOMERSIAL TV: Institut Jantung Negara (IJN), Honda Icon, Mee Sedap dan Chikades
DRAMA: Qalesya, Kum Kum, Ekspres Dania, Roh Naterah, Hani, Senja Permai, Syurgamu Ramadhan, Sayang Abah dan Tentang Bulan The Series.